HELIZA bersama adiknya, Hazwani teruskan misi kemanusiaan ke Gaza semalam. FOTO Aziah Azmee
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


PENYANYI Heliza Helmi dan adiknya, Hazwani Helmi sekali lagi berangkat ke Gaza semalam, bagi meneruskan misi kemanusiaan yang pernah mereka lakukan sebelum ini.

Namun kali ini, Heliza menitipkan doa kepada kedua ibu bapanya menerusi perkongsian gambar mereka yang dimuat naik di laman Instagram (IG) milik Heliza.

"Semoga Allah menjaga mama abah sekeluarga dalam hifzillah. Ya Allah jagakanlah mereka untukku.

“Ada nafas, berjumpa lagi insya-Allah. Anakanda pergi dulu, maafkan salah silapku," tulisnya.

Heliza juga turut berkongsi pautan video rakaman temu bual bapanya dalam sebuah program di TV Alhijrah sebelum keberangkatan mereka berdua.

Menerusi video itu, bapa Heliza, Helmi Mohd Hasbi berkongsi cerita bagaimana dia terbuka hati membenarkan dua anak perempuannya itu menyertai misi kemanusiaan ke negara yang sedang bergolak.

Menurut bapanya, terdapat dua keinsafan terbit di dalam diri iaitu memastikan mereka melakukan bagi diri dan apa yang dilakukan untuk umat.

"Ini adalah kombinasi penting untuk menyampaikan ke mana akhirnya arah tuju kita.

“Sesuatu yang baik tidaklah menjadi besar bagi diceritakan tapi memberi manfaat pada diri dan umat menjadi pegangannya untuk memberi bantuan pada golongan sedemikian termasuk negara bergolak.

"Kita tidak perlu pertikaikan anak lelaki atau perempuan. Tapi langkah pertama kita dahului dengan tujuan baik, saya rasa itulah perkara yang sangat diredai Allah SWT,” katanya.

Katanya, dia dan isteri sudah mewakafkan anak mereka untuk umat.

Dalam pada itu, Heliza juga turut berkongsi apabila pertama kali dia meminta izin dengan bapanya untuk menjejakkan kaki ke luar negara.

"Tak apa kamu pergi Gaza abah jaga Malaysia (abah polis waktu itu). Namun bagi mama pula mungkin berbeza sedikit, ibukan.

"Namun lama-lama, selepas beberapa tahun buat aktiviti kemanusiaan ini. Suatu hari mama cakap, eh lama pula duduk Malaysia, tak tolong orang Syria ke, orang luar ke.

“Sejak itu bermulalah aktiviti Heliza dan Hazwani dengan misi kemanusiaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 7:33 PM