RAJA Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan mencemar duli memeriahkan festival. FOTO Hazreen Mohamad
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


PROGRAM Lembaran Emas: Songket dan Keringkam menjadi acara utama Rainforest Fringe Festival (RFF) tahun ini dan lebih istimewa apabila Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan mencemar duli memeriahkan festival berprestij itu.

Menteri Pelancongan, Seni, Budaya, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, RFF adalah inisiatif untuk terus mengukuhkan martabat budaya di negeri itu.

“Sarawak adalah negeri yang sangat kaya dengan etnik dan budaya. Acara ini adalah sangat penting bagi terus memartabatkan kekayaan ini ke mata dunia dan perlu dipelihara sampai bila-bila.

“RFF adalah acara prelude sebelum menjelang Rainforest World Music Festival (RWMF) yang dilangsungkan sejak 1998 dan Borneo Jazz Festival memasuki edisi ke-14 tahun ini,” katanya.

Pada persembahan fesyen menampilkan koleksi dua pereka ternama tempatan, Datuk Seri Bernard Chandran dan Datuk Tom Abang Saufi itu, motif songket serta keringkam menjadi fokus rekaan.

Menurut Abdul Karim, acara berkenaan didedikasikan kepada komuniti Melayu yang menjadi antara etnik penting dalam kalangan masyarakat Sarawak.

“Platform ini dikhaskan untuk memperkaya dan meraikan tradisi serta budaya komuniti Melayu Sarawak. Kami juga mahu raikannya bersama pelancong yang datang,” katanya.

RFF yang bermula semalam hingga 12 Julai ini di Borneo744, Bintawa dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni, Budaya, Belia dan Sukan Sarawak dengan kerjasama Badan Pelancongan Sarawak.

Pelbagai program bakal dijalankan sepanjang acara itu termasuklah persembahan muzik, seni, kraftangan, filem, fotografi, makanan, budaya dan warisan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 12:04 PM