AMYRA hamil dua bulan. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

“KALAU boleh nak rahsiakan dulu tetapi tak sangka Amar sudah umumkan berita kehamilan ini sempena hari jadinya hari ini,” kata pelakon Amyra Rosli yang kini hamil dua bulan.

Amyra berkata, dia seboleh-bolehnya tidak mahu berkongsi berita itu terlalu awal namun menerima permintaan suaminya, Amar Baharin yang ingin mengumumkan perkhabaran gembira itu hari ini.

“Usia kandungan saya baru masuk dua bulan. Sebenarnya saya tidak mahu umumkan lagi tetapi mungkin sempena hari lahirnya hari ini, dia mahu memberikan sesuatu yang istimewa.

“Kalau ikutkan saya, nanti dulu sebab masih di peringkat awal kemahilan,” katanya.

Menurut Amyra, dia dijangka bersalin pada Februari tahun depan.

“Entah kenapa kehamilan kedua ini saya berasa malu untuk berkongsi dengan orang ramai berbanding kehamilan sebelum ini.

“Doakan semoga kehamilan kedua ini dipermudahkan. Saya dan Amar tidak merancang tetapi rasanya sudah masa yang sesuai sebab anak sulung berusia dua tahun,” katanya.

Terdahulu, Amar yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-34 hari ini berkongsi khabar gembira di laman YouTube dan Instagram mengenai kehamilan kedua isterinya.

Amar menikahi Amyra pada 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Aqeef Anaqi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 7:07 PM