BAGAIMANAPUN Nabila memohon maaf kepada wanita terbabit. FOTO Rohanis Shukri.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


PENYANYI Nabila Razali mengakui ada menerima ‘direct message’ (DM) daripada seorang wanita dan isteri peminat yang memintanya supaya tidak lagi membalas komen suaminya di laman sosial, baru-baru ini.

Menurut pemilik nama sebenar Nur Nabila Mohd Razali, 27, dia juga tidak sangka komen yang diberikan kepada peminat lelaki di laman Twitter itu menimbulkan kemarahan kepada wanita berkenaan.

“Terus-terang, saya melayan semua peminat secara sama rata di laman sosial.

“Sebagai artis, saya perlu membalas setiap komen daripada peminat kerana tanpa peminat siapalah saya.

“Namun, saya juga tidak tahu sama ada status peminat saya itu suami orang atau masih bujang kerana ia sekadar hubungan artis dan peminat sahaha serta tidak lebih daripada itu,” katanya.

Nabila ditemui sempena majlis raikan Raya bersama Kelab peminatnya, NabaelaFC yang berlangsung di Kuala Lumpur di sini, malam tadi.

Penyanyi yang popular dengan lagu Vroom Vroom itu bagaimanapun memohon maaf kepada wanita terbabit.

“Saya mohon maaf andainya komen yang saya balas kepada suaminya itu mengguris hati wanita itu atau boleh mengeruhkan rumah tangganya.

“Saya akan lebih berhati-hati untuk membalas komen peminat di laman sosial selepas ini kerana tidak mahu insiden sebegini berulang,” katanya.

Pada masa sama kata Nabila, dia tidak berminat untuk menjalin hubungan cinta dengan suami orang.

“Sebagai penyanyi yang menceburi bisnes, saya juga berkawan dengan lelaki yang sudah berkahwin tetapi untuk urusan perniagaan dan sentiasa menjaga batas dalam pergaulan.

“Buat masa ini, saya belum memiliki teman istimewa kerana mahu fokus mengukuhkan nama dalam karier seni dan bisnes,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 1:41 PM