NAIM Daniel tidak pernah memberikan sebarang respon kerana enggan terjebak dalam situasi yang tidak dijangka. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PELAKON dan penyanyi, Naim Daniel mengakui pernah menerima beberapa video lucah di Instagram daripada individu yang tidak dikenali.

Namun, dia sendiri tidak pernah memberikan sebarang respons kerana enggan terjebak dalam situasi yang tidak dijangka memandangkan banyak insiden gambar dan video lucah tersebar membabitkan artis.

"Saya ada menerima beberapa mesej daripada individu tidak dikenali di Instagram dan antaranya ada yang menghantar video lucah.

"Tak kurang juga yang membuat panggilan video untuk beraksi secara langsung (live), namun saya tak beri respons kerana takut jika terjebak dengan benda tak sepatutnya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Naim yang kini popular menerusi lagu Sumpah, media sosial adalah satu tempat yang mempunyai kebaikan dan keburukannya.

"Media sosial adalah tempat untuk saya berinteraksi dengan peminat. Namun, kadang-kadang, di situ jugalah kita dapat tengok pelbagai jenis manusia.

"Ada yang okey dan ada yang suka jadikannya sebagai tempat untuk aktiviti pelik," katanya.

Sebelum ini, ada peminat yang pernah memintanya untuk melangsaikan hutang.

"Ada yang pernah meminta saya langsaikan hutang. Ada juga yang menghantar mesej kepada saya dan meminta bantuan untuk melangsaikan bayaran pinjaman kereta.

"Tapi, saya tak mahu mengguris hati mereka dengan kata-kata yang terlalu kasar, jadi saya cuba respons dengan cara baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 4:17 PM