NIZAM (tujuh dari kanan) bergambar bersama penyumbang suara watak animasi Boboiboy selepas sidang media Boboiboy Movie 2. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


FILEM animasi tempatan BoBoiBoy Movie 2 terbitan Animonsta Studios bakal ditayangkan serentak di 500 pawagam di lima negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, dan Vietnam pada 8 Ogos nanti.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios, Nizam Abdul Razak, filem yang menggabungkan elemen adiwira, pengembaraan dan komedi itu mendapat permintaan tinggi untuk tayangan selepas kejayaan filem pertamanya pada 2016.

“Kejayaan kutipan sebanyak RM18 juta untuk filem pertama BoBoiBoy pada 2016 membuktikan filem berkenaan berjaya diterima peminat di luar negara. Berikutan kejayaan itu, kami dapat lebih banyak permintaan untuk filem kedua ini di sekitar Asia Tenggara.

“Bukan saja di lima negara itu, kami juga mengintai peluang untuk menayangkan BoBoiboy Movie 2 di Thailand, Filipina, Kazakhstan dan Korea Selatan. Pada 2016, filem pertama ini turut ditayangkan di Korea Selatan.

“Untuk filem kedua ini, kami menyasarkan kutipan lebih tinggi berbanding yang pertama memandangkan penayangannya kali ini lebih meluas. Sokongan diberikan pengikut filem ini benar-benar memberikan kami semangat untuk menakluk pasaran Asia Tenggara,” katanya kepada Harian Metro pada pelancaran filem itu, hari ini.

Nizam turut mendedahkan proses pembikinan filem kedua itu dibuat lebih pantas dan mengambil masa setahun untuk disiapkan. Dia tidak menafikan memang wujud tekanan sewaktu proses pembikinannya.

“Kami mahu penuhi permintaan pengikut BoBoiBoy yang mahukan filem seterusnya dilancarkan. Tidak dinafikan, memang mencabar dan ada tekanan namun produksi merangkumi 100 orang kami berjaya melaksanakannya dalam tempoh itu.

“Untuk filem kedua ini, kami menggunakan teknologi yang lebih baik meskipun mengambil kos mahal. Misi kami tidak lain mahu memberikan kualiti yang jauh lebih bagus berbanding filem terdahulu,” katanya.

Turut bekerjasama dengan Astro Shaw, filem menelan kos RM7 juta berkenaan bakal mengambil pendekatan promosi berbeza kali ini.

“Kami akan mencari rangkaian terbaik di setiap negara lain untuk bekerjasama dalam promosi filem berkenaan. Kami berharap filem ini akan meluas ke seluruh Asia dan seluruh dunia juga,” katanya.

Penyanyi Faizal Tahir turut dipilih menyanyikan lagu tema BoBoiBoy 2 berjudul Fire & Water yang sarat dengan mesej positif dan nilai murni, sesuai untuk kanak-kanak terutamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 6:36 PM