DAYANG nasihatkan pembeli tiket konsert dapatkan butir peribadi penjual. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


PIHAK pengurusan Dayang Nurfaizah dan penganjur konsert Dayang Dua Dekad, Shiraz Projects menggesa peminat yang memiliki tiket palsu dibeli daripada individu melakukan penipuan terbabit supaya tampil membuat laporan polis.

Dayang sendiri berkongsi mengenai penipuan berlaku di laman sosialnya supaya peminat tahu situasi yang berlaku dan tidak mudah tertipu.

Kata Dayang, tiket konsert Dayang Dua Dekad bakal berlangsung pada 21 Julai ini di Istana Budaya sudah habis dijual dan kalau ada pun ia diperuntukkan untuk penaja konsert.

“Kepada mereka yang mahu membeli tiket daripada pihak ketiga, berhati-hati. Nasihat saya jika ada pihak memberitahu mereka mahu menjual tiket yang dibeli lebih awal dan anda mahu membeli, dapatkan butir peribadi penjual.

“Andai si penjual enggan memberikan butir peribadinya pasti dia punya niat lain dan mahu menipu. Data peribadi penjual harus diperoleh bagi memudahkan pihak berkuasa mengambil tindakan sekiranya berlaku penipuan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pihak pengurusannya mula mengesan berlaku penipuan membabitkan penjualan tiket daripada pihak ketiga apabila ada peminat tampil mendakwa ditipu apabila nombor siri dan tempat duduk pada tiket dibeli adalah sama dengan milik rakannya.

“Penjual tiket palsu ini mewujudkan akaun Instagram Queen Dayang Nurfaizah. Ada antara peminat setia saya mengikutinya.

“Menerusi laman Instagram ini dia menghubungi peminat yang berkongsi cerita mereka mahu menonton sangat konsert tapi tidak punya tiket dan membohongi mereka dengan memberitahu dia ada tiket konsert Dayang Dua Dekad serta mahu menjualnya atas sebab tertentu,” katanya.

Sedangkan kata Dayang, si penipu itu juga memperoleh tiket daripada seorang kenalannya yang juga peminat setia.

Padahal katanya, individu terbabit masih berhutang dengan kenalannya itu membabitkan tiket yang digunakan untuk membohongi peminat lain.

“Apabila si pembeli membayar harga tiket yang kononnya mahu dijual, dia akan menghantar keratan tiket atas talian dan 10 pembeli akan mendapat keratan sama. Maknanya malam konsert itu nanti 10 orang akan berebut satu kerusi,” katanya.

Dayang berkata, dia mengharapkan kerjasama peminat tertipu supaya tampil ke hadapan dengan membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan diambil kepada mereka yang terbabit dengan penipuan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 3:40 PM