SITI Nurhaliza pada majlis Sambutan Hari Raya Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Sitizone 2019 di The Pearl. FOTO: Mahzir Mat Isa
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


TERUJA apabila sekali lagi dapat bersama kelab peminatnya, Sitizone meraikan Aidilfitri, Datuk Seri Siti Nurhaliza berharap majlis seperti itu dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. Siti berkata, setiap tahun ada saja peminat yang ingin turut serta tetapi majlis tidak dibuka untuk orang ramai menyebabkan jumlah kehadiran sangat terhad.

“Saya bersyukur dan gembira dengan sambutan ini. Ia hari yang cukup bermakna walaupun tidak ramai yang dapat turut serta tetapi sambutannya begitu meriah.

“Insya-Allah, jika ada rezeki memang saya merancang mengadakannya di tempat yang lebih besar pada masa akan datang,” katanya.

Bercerita mengenai kerjaya seninya, Siti berkata, sepanjang Syawal ini dia sudah mula bekerja dengan menerima undangan mengadakan persembahan pada majlis korporat.

“Saya juga dalam perancangan untuk tampil dengan single baharu dan ada beberapa lagu yang sudah dipilih untuk dipromosikan. Saya bersama syarikat pengurusan juga masih dalam perbincangan sama ada untuk mengeluarkan single atau album penuh,” katanya.

Siti turut meluahkan rasa terujanya apabila niat bekerjasama dengan penyanyi Indonesia, Nissa Sabyan terlaksana menerusi lagu Ikhlas.

Menurut Siti, ia adalah projek istimewa apabila turut menggandingkannya bersama penyanyi dari Singapura, Taufik Batisah.

“Memang sudah lama saya menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan Nissa dan tidak sangka ia dilaksanakan menerusi lagu Ikhlas. Ini adalah projek istimewa yang dibuat oleh Universal Music Malaysia dengan Apple Music.

“Satu kerjasama yang menarik dan pertama kali menggandingkan kami bersama-sama. Ikhlas adalah lagu kerohanian dan memang sesuai dengan Aidilfitri. Saya berharap lagu ini akan terus popular dan dimainkan setiap kali Ramadan dan Aidilfitri,” katanya.

Lagu Ikhlas hasil ciptaan Omar K dan Ikhwan Fatanna menggabungkan tiga negara Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Sementara itu, selepas kejayaan konsert Lentera Timur yang diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur, pada 2013, Siti juga merancang untuk kembali dengan konsert Lentera Timur 2.0 selewat-lewatnya awal tahun depan.


SITI Nurhaliza rancang hamil anak kedua diusia 43.

NAK TAMBAH ANAK SEBELUM USIA 43

Bercerita mengenai anaknya, Siti Aafiyah Khalid yang kini berusia setahun tiga bulan, Siti berkata, dia teruja melihat perkembangan si kecil itu.

Menurut Siti, Aafiyah sudah pandai berjalan, malah kadang-kadang berjalan laju dan tidak mahu dipegang.

“Saya mahu dia membesar seperti kanak-kanak lain dengan bergaul bersama teman seusianya. Saya juga mahu dia melalui apa yang saya lalui dulu dengan melakukan aktiviti lasak dan merasai kesusahan.

“Saya akan pantau tahap kesihatannya, maklumlah bayi seusianya sistem imun belum kuat,” katanya.

Dalam pada itu, Siti juga berharap dia dapat menimang cahaya mata kedua sebelum berusia 43 tahun.

“Jika ikut perancangan pada awal perkahwinan saya mahukan anak ramai tetapi rezeki Allah beri anak selepas 10 tahun berkahwin dengan usia sudah 40 tahun.

“Jika hendak hamil lagi saya perlu berjumpa doktor dan mendapatkan nasihat daripadanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 5:00 AM