NOURISH turut memohon maaf kerana kurang peka terhadap masalah yang dihadapi Nabila. FOTO/NSTP
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


ISTERI kepada penyanyi Rock terkenal Amy Search iaitu Norhasniza Hassan atau Nourish meluahkan rasa syukur berikutan hubungannya dengan pelakon Nabila Huda kembali jernih.

Menerusi kapsyen di Instagram (IG), Nourish turut memohon maaf kerana kurang peka terhadap masalah yang dihadapi oleh pelakon filem Munafik itu.

"Abil, kami mohon maaf selama ini kurang beri perhatian dan mendengar masalah awak. Alhamdulillah, semoga segala sengketa ini dapat mengeratkan lagi hubungan kita sekeluarga. Amin. Kami juga sayangkan awak.

"Hadiah yang paling indah untuk hari lahir saya. Terima kasih Allah. Doa yang terjawab. Aku reda dan ikhlas dengan dugaan serta ujian buat kami," tulisnya.

Nourish turut menzahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka sekeluarga.

Dia juga berterima kasih kepada suami Nabila iaitu Bert yang disifatkan sebagai menantu yang baik dan banyak bersabar dengan situasi berkenaan.

“Selepas 16 tahun, ini adalah hadiah yang terindah. Terima kasih untuk kejutan hari lahir yang sangat bermakna buat saya. Semoga ini ini akan mematangkan kita semua untuk hari yang lebih baik.

“Terima kasih juga buat ahli keluarga, sahabat serta rakan IG yang selalu mendoakan dan memberikan nasihat buat kami.

“Terima kasih kakak ku, Erma Fatima. Tidak terbalas jasa kakak. Kami sentiasa sayangkan kakak,” tulisnya.

Hubungan dingin antara Abil dengan bapanya, Amy serta ibu tirinya iaitu Nourish berakhir dengan baik selepas pelakon itu datang beraya di kediaman penyanyi itu Khamis lalu.

Pengarah terkenal Erma Fatima bertindak membantu memulihkan semula hubungan keluarga itu.

Lebih manis, semalam, Abil, Amy dan keluarga turut membuat kejutan sempena ulang tahun kelahiran Nourish.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 5:09 PM