Amy (tiga dari kanan) meraikan hari jadi isterinya, Nourish (empat dari kanan) bersama anaknya Nabila (dua dari kiri) serta keluarga mereka.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


“TAMAN hati aku dipenuhi bunga-bunga yang cantik lagi wangi”.

Demikian luahan penyanyi rock legenda, Amy Search selepas hubungan dia dengan anak perempuannya yang juga pelakon popular, Nabila Huda kembali pulih.

Selain itu, hubungan Nabila yang selama ini bermasalah dengan isteri Amy, Norhasniza Hassan atau Nourish juga kembali pulih. 

Amy ketika dihubungi berkata, dia bersyukur dan gembira atas apa yang berlaku.

“Ini semua Allah yang hadiahkan sebab Allah sangat suka pada orang-orang yang sabar. Segala dugaan-Nya aku terima dengan berbesar hati. Syukur alhamdulillah atas segala nikmat yang tak terbayangkan ini,” katanya.

Khamis lalu, hubungan Amy dan Nabila kembali pulih selepas mereka meraikan Aidilfitri bersama-sama di kediamannya.

Semuanya hasil perancangan Nourish dan pengarah popular, Erma Fatima.

Malam semalam, Amy bersama Nabila pula mengadakan kejutan sempena ulang tahun kelahiran Nourish.

“Sebelum ini Nourish dan Erma Fatima merancang sesuatu untuk saya dan Nabila. Ketika itu anak-anak semua keluar menonton wayang. Saya pun hairan anak-anak semua keluar menonton wayang dan tinggalkan saya. Rupa-rupanya ada sesuatu yang terindah akan berlaku. Tiba-tiba bunyi loceng pintu, saya di beranda sedang berehat dan ternampak kelibat seperti cucu saya. Rupa-rupanya hari indah yang saya bisikkan kepada Allah tiba akhirnya,” tulisnya di Instagram.

Amy berkata, dia berasa terharu dan amat terharu atas usaha Nourish dan Erma melakukan kejutan untuknya itu,” katanya.

Sebelum ini, Nabila memuat naik status betapa dia merindui Amy kerana sudah lama tidak bertemu atas sebab peribadi.  

Nabila turut memuat naik luahan hatinya mengenai Amy bersempena dengan sambutan Hari Bapa baru-baru ini.  

Luahan itu turut mendapat pelbagai maklum balas daripada netizen dan peminat, malah ada yang menangis membaca coretan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 4:56 PM