ALLY menamatkan zaman dudanya dengan Marlina Ibrahim dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Temerloh, Pahang, semalam.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


PERSONALITI TV popular, Ally Iskandar, 43, menamatkan zaman dudanya dengan Marlina Ibrahim dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Temerloh, Pahang, semalam.

Berita pernikahan Ally atau nama sebenarnya Ally Iskandar Mohd Mardzi dan pasangannya itu dikongsi adiknya, Ardi Herman menerusi Instagram hari ini.

“Sekali lafaz, sah bergelar suami Marlina Ibrahim, Alhamdulillah,” tulisnya.

Pada majlis itu, Ally yang juga pengacara MHI di TV3 turut menyerahkan mas kahwin sebanyak RM22.50 dan senaskhah al-Quran kepada Marlina.



Terdahulu, berita pernikahan Ally dihidu ramai apabila pengacara itu memuat naik sekeping gambar di Instagram dengan tulisan kata-kata pujangga.

Walaupun tidak mengumumkan secara terbuka, ternyata gambar itu mendapat perhatian pengikutnya dengan dihujani ucapan tahniah yang turut mendoakan kebahagiaan perkahwinan keduanya itu.


Bagaimanapun, usaha Harian Metro untuk mendapatkan komen Ally berhubung perkara itu tidak berjaya apabila Ally tidak menjawab panggilan telefon dan mesej WhatsApp.

Ally pernah berkahwin dengan Nurfarahin Romli pada 20 Januari 2012, namun mereka bercerai pada 17 Ogos 2016.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak perempuan, Maream Esaabel yang kini berusia lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 2:07 PM