NABILA bersama Erma Fatima ketika beraya di rumah bapanya, Amy Search. FOTO Instagram Nabila Huda
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


HUBUNGAN Nabila Huda dengan bapanya, juga penyanyi utama kumpulan Search, Amy kembali pulih selepas mereka berdua dilihat beraya bersama malam tadi.

Kedua-duanya turut nampak mesra dalam video yang dimuat naik pelakon dan pengarah, Erma Fatima.

Perkembangan positif itu sekali gus menggembirakan Nabila dan menyifatkan pertemuan dengan Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman membuatkan hidupnya kini sempurna.

Sebelum ini Nabila memuat naik status betapa dia merindui bapanya kerana sudah bertahun tidak bertemu atas sebab peribadi.

Pemenang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-28 itu memuat naik luahan hatinya mengenai Amy bersempena dengan sambutan Hari Bapa baru-baru ini.

Luahan yang dimuat naik Nabila mendapat pelbagai maklum balas daripada warganet dan peminat, malah ada yang menangis membaca coretan terbabit.

Kata Nabila sewaktu dihubungi hari ini, pertemuan di kediaman bapanya itu berupa satu kejutan buat Amy dan Erma yang kebetulan sedang beraya bersama penyanyi rock popular itu menghubungi serta meminta supaya dia datang beraya bersama mereka.

“Dalam pertemuan itu kami turut selesaikan apa yang patut. Alhamdulillah segalanya sudah selesai,” katanya.

Katanya, dia menggunakan kesempatan bertemu dengan bapanya menyelesaikan masalah yang timbul antara dia dan ibu tirinya Norhasniza Hassan atau Nourish.

“Sebagai manusia biasa kita tidak sempurna. Saya ada buat silap dan ibu tiri juga ada buat silap. Kita luah dan bincangkan perkara yang berbangkit antara kami serta saling bermaaf-maafan,

“Saya faham kini, kalau berada di tempat ibu tiri, banyak perkara yang perlu dihadapi dan dilalui. Alhamdulillah kesempatan yang saya dapat memberikan banyak rahmat,” katanya.

Menurutnya, dalam usia matang dia mahukan kehidupan yang lebih baik dengan semua ahli keluarga ada bersamanya.

Nabila juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang berdoa dan mengharapkan hubungan dia serta bapanya kembali baik.

“Apa yang berlaku dan pertemuan saya dengan papa dipermudahkan kerana berkat doa semua orang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 8:02 PM