KUMPULAN 911 (dari kiri) Jimmy Constable, Lee Brennan dan Simon 'Spike' Dawbarn pada sidang media. FOTO: Khairul Azhar Ahmad
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


BOYBAND popular dari United Kingdom, 911 teruja apabila tiket Konsert 911 The Reunion yang akan berlangsung Sabtu ini di Quill Convention Center, Kuala Lumpur, habis dijual.

911 yang dianggotai Lee Brennan, Simon 'Spike' Dawbarn dan Jimmy Constable juga tidak sabar untuk menghiburkan peminat Malaysia selepas hampir 20 tahun tidak muncul mengadakan konsert di negara ini.

"Daripada maklumat yang kami terima, sebanyak 1,500 tiket sudah habis dibeli sejak mula dijual pada 15 April lalu. Kami tak sabar membuat persembahan menghiburkan peminat-peminat kami di Malaysia," kata Lee mewakili rakan-rakannya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya sama ada mereka akan tampil melakukan aksi-aksi bertenaga di pentas yang menjadi identiti 911 sejak dulu, Lee tidak menolak kemungkinan itu.

"Ya, tentunya kami akan melakukan beberapa aksi antaranya 'backflip' (balik kuang) seperti mana yang kami lakukan dulu.

"Harapnya, konsert ini akan mengembalikan memori peminat-peminat yang rindukan kehadiran kami di sini," katanya.

Konsert 911 The Reunion juga akan menyaksikan persembahan pembukaan oleh penyanyi dan komposer Britain, Andreah dan artis tempatan, DJ Nesh.

911 ditubuhkan pada 1995 di England dan popular dengan lagu-lagu seperti Night To Remember, Love Sensation, Don’t Make Me Wait dan Body Shakin’.

Empat album mereka terjual lebih enam juta unit di seluruh dunia dan mereka cukup popular di Asia Tenggara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 7:57 PM