ERRA Fazira.
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


PELAKON popular, Erra Fazira enggan lagi mengulas mengenai konflik dan salah faham di antara dia dengan rakan pelakon Datin Seri Umie Aida.

Erra ketika ditemui berkata, dia menganggap apa yang berlaku adalah satu titik hitam dan memohon supaya semua pihak mendoakan kehidupannya menjadi lebih baik dan diredai Allah.

“Kita tutup buku lama dan buka lembaran baru. Saya cuma mahu meneruskan kehidupan ke arah yang lebih baik, produktif, tenang dan damai,” katanya.

Ditanya sama ada dia bersedih dengan kejadian itu, Erra berkata, ia terlalu peribadi untuk dikongsikan.

Katanya, sekiranya berdepan masalah, dia mengadu pada Allah.

“Banyak pelajaran yang saya dapat dan ia adalah pengajaran paling ‘best’ dalam hidup. Apa yang berlaku, walaupun kita langgar lubang dan dinding, kita buat apa sekali, ia adalah pelajaran yang bagus untuk saya pandang ke hadapan dengan perspektif positif.

“Saya susah nak bayangkan perkara itu berat atau tidak. Setiap fasa itu ada beratnya. Harap saya tenang menghadapinya,” katanya.

Sebelum ini kecoh di laman sosial apabila Umie memuat naik status menyatakan kekecewaannya terhadap seorang teman.

Walaupun tidak meletakkan sebarang nama, namun ia dipercayai ditujukan kepada Erra.

Tidak lama selepas itu, Erra memuat naik kenyataan permohonan maafnya terhadap Umie.

Bagaimanapun, konflik antara Umie dan Erra dijernihkan semula selepas kedua-duanya bertemu dan berbaik semula.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 6:59 PM