AIR mata Wanns mengalir kala cipta lagu Hikayat Persahabatan, Lagu Untuk Mami.
Amirul Haswendy Ashari.
haswendy@hmetro.com.my


SETIAP anak seni pasti mahukan kerjaya mereka terus berkembang dan bertapak dengan lancar. Begitu jugalah pelakon dan penyanyi, Wanns Ahmad, 29, yang berharap kembara seninya tidak bernoktah selepas pernah muncul dengan single Terus Mencintaimu sekitar lima tahun lalu.

“Saya berterima kasih kepada pendengar dan peminat yang masih menyokong single Terus Mencintaimu sehingga ke hari ini malah ramai bertanya mengenai lagu baharu.

“Sejak bergerak sendiri, laluan saya bukan mudah kerana banyak perlu dilakukan sendiri,” katanya yang pernah bernaung di bawah syarikat Pencil Pictures & Records dulu.

Katanya, sejak beberapa tahun lalu, dia sudah mula mengatur perancangan baharu termasuk menghasilkan single dengan genre lebih segar.

Tanpa berselindung, pengacara program masakan Aroma Tradisi di TV3 ini turut mendedahkan, permainan dalam industri hiburan kadangkala agak ‘jahat’.

“Saya lihat ramai anak seni kena melakukan kontroversi ‘murahan’ semata-mata meraih perhatian masyarakat. Selepas itu barulah senang dapat tawaran.


WANNS turut menjadi pengacara program masakan Aroma Tradisi di TV3.

“Kalau tidak, masyarakat akan pandang sebelah mata walaupun ramai lagi anak seni yang berniat murni mahu berkongsi karya mereka,” katanya.

Dia akui kadangkala tertekan dengan situasi dalam industri kerana terlalu mengejar waktu untuk membina nama pada usia tertentu.

Apatah lagi, dia bakal menjengah usia 30 tahun dan tidak mahu namanya terus sirna begitu saja. Bagi memberi kelainan, Wanns baru saja mencipta dua lagu berentak rap berjudul Hikayat Persahabatan dan Lagu Untuk Mami.

Katanya, pada masa ini dia mencari penyanyi sesuai untuk menyampaikan dua lagu itu yang disifatkan sangat beremosi ketika proses penciptaan.

“Dua lagu ini sebenarnya lebih kepada kepuasan saya untuk sampaikan pesanan kepada dua insan hebat iaitu ibu saya sendiri dan mereka bergelar sahabat.

“Lagu Untuk Mami itu sebenarnya hadiah buat ibu saya sebelum dia ‘tutup mata’. Saya harap dua lagu ini dapat dilancarkan semeriah mungkin,” katanya.

Tanpa berselindung, dia mengakui menitiskan air mata ketika menghasilkan dua lagu itu. Pada awal, dia berhasrat mahu menyanyikannya sendiri, tetapi kini tidak kisah sesiapa pun mahu menyanyikannya.

Katanya, asalkan pesanan murni lagu itu dapat disampaikan kepada masyarakat.

“Saya kena mengatur strategi pemasaran yang bagus agar karya saya dapat diterima ramai dan dialunkan selama mungkin.

“Saya berpegang dengan kata-kata Malique (TooPhat), nak jadi terkenal harus pandai main api,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 5:00 AM