BETO akui banyak perkara boleh dicontohi daripada Puteri Rafasya dan Shazman.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


TURUT menghidupkan telefilem Sesekali arahan Hisyamudin Ahmad baru-baru ini, Beto Kusyairy kagum dengan komitmen bakat pelakon kanak-kanak, Puteri Rafasya dan Shazman Isaac yang turut berlakon dalam telefilem itu. Beto, 39, berkata, banyak yang boleh dicontohi daripada dua pelakon itu walaupun mereka masih kecil.

Dia juga tidak menafikan penghayatannya banyak dibantu dengan kemampuan lakonan pelakon kanak-kanak itu. Menurutnya, dia tidak menyangka bakat mereka sebenarnya jauh lebih mengagumkan berbanding pelakon cilik lain yang sudah popular.

“Mereka sememangnya pelakon yang bagus dan saya sangat terkejut dengan komitmen, disiplin serta fokus mereka. Sebenarnya mereka jauh lebih hebat berbanding segelintir pelakon lain.

“Saya tabik mereka dan ini pertama kali saya mengetahui bakat mereka. Ketika di lokasi, mereka tidak pernah bermain-main kecuali apabila ada babak yang tidak membabitkan mereka.

“Kebanyakannya mereka akan bersedia di set, relaks, ambil ‘mood’ dan bagus untuk pelakon usia sedemikian memiliki fokus serta komitmen terbaik,” katanya.


BETO bersama pelakon telefilem Sesekali termasuk Puteri Rafasya dan Shazman. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman

Berkisar pengorbanan golongan bapa, Beto juga memuji bagaimana pelakon cilik itu memberikan penghayatan yang sangat baik.

Disebabkan itu, dia sendiri tidak berasa canggung walaupun pertama kali bergandingan dengan mereka.

“Senang untuk kami cipta keserasian apabila disiplin dan komitmen mereka itu yang membantu hubungan antara karakter kami,” katanya.

Sebagai seorang lelaki berkeluarga yang belum dikurniakan cahaya mata, Beto berkata, dia sudah tiada masalah untuk membawa watak seorang bapa. Menurutnya, dia tidak mahu terbawa-bawa emosi peribadinya sekiranya mendapat watak sebegitu.

“Itu mungkin keistimewaan yang diberikan Allah untuk saya rasa disebabkan paling penting adalah ‘feel’ sewaktu berlakon. Saya juga dikelilingi ramai anak buah selain anak sahabat artis rapat dengan saya. Memang ada yang turut memanggil saya bapa contohnya anak Zahiril Adzim dan anggap saya seperti bapa mereka.

“Saya tiada masalah untuk cetuskan rasa itu dengan pelakon kanak-kanak dan saya ajar untuk tidak babitkan antara peribadi mahupun lakonan. Melainkan rasa itu membantu untuk tujuan karakter atau watak dan menyerlahkan aspek segi visual,” katanya.

Telefilem Sesekali yang ditayangkan di RTM TV2 itu turut dibintangi Azhan Rani, Hariry Jalil, Puteri Rafasya, Shazman Isaac dan Norkhiriah.

Bercerita mengenai perkembangan terbaharu, Beto bakal memasuki set penggambaran filem berjudul Anak Rimau.

“Insya-Allah, 1 Julai nanti akan masuk set untuk sebuah filem berkisar sukan bola sepak. Ia lebih kepada untuk memupuk semangat patriotik dan watak saya adalah sebagai jurulatih bola sepak,” katanya.

Dalam pada itu, Beto juga bakal memotong rambut panjangnya memandangkan wataknya terhad sepanjang tampil dengan gaya rambut begitu.

“Rambut panjang ini sebenarnya untuk projek drama KL Gangster: Underworld musim kedua yang penggambarannya berjalan awal tahun ini. Bagaimanapun, atas masalah teknikal, penggambaran terpaksa ditangguhkan ke hujung tahun ini.

“Saya pun sudah tak mampu nak simpan rambut ini. Saya terpaksa potong disebabkan rambut panjang banyak menghadkan watak untuk saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 4:30 AM