SITI bersama bapa Allahyarham Bard, Deraman ketika menziarah jenazah Bard di Masjid As-Sobirin AU5, Lembah Keramat, hari ini. FOTO Hatta Sanie
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

“ALLAHYARHAM banyak berkorban untuk saya. Dia ditugaskan untuk menjaga saya apabila diambil sebagai artis SRC (Suria Records) selepas menjuarai Bintang HMI pada 1995,” kata Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin mengenai bekas Eksekutif Perhubungan Awam SRC, Bahanordin Deraman, 53, atau lebih dikenali sebagai Bard yang meninggal dunia pada jam 8 malam semalam akibat komplikasi kencing manis dan buah pinggang.

Siti berkata, mereka melalui detik susah dan senang bersama-sama ketika permulaannya dalam seni dan Bard tidak pernah merungut apabila menghantarnya pulang ke Kuala Lipis, Pahang selepas selesai promosi atau persembahan di Kuala Lumpur.

“Kami naik van syarikat untuk promosi di merata tempat di seluruh negara. Namun, setiap Ahad kena pulang ke Kuala Lipis kerana perlu bersekolah keesokannya.

“Dia akan hantar saya balik kerana mahu memastikan saya dapat bersekolah. Kadang-kadang kami sampai ke rumah saya jam enam pagi. Inilah kesusahan dan pengalaman yang akan saya kenang sampai bila-bila. Ketika itu dia pun baru bekerja dan saya baru nak jadi penyanyi,” katanya ketika hadir menziarah jenazah Bard bersama ibunya, Siti Salmah Bachik di Masjid As-Sobirin AU5, Lembah Keramat, Kuala Lumpur, hari ini.

Siti berkata, dia juga tidak dapat melupakan pengalaman terpaksa berjemur di tengah panas untuk penggambaran muzik video dan Bard tetap sabar bagi memastikan mendapat hasil terbaik.

“Penggambaran dibuat di tepi pantai dan Abang Bard tetap setia di sisi saya menyiapkannya. Banyaklah kenangan manis kami ketika bekerja bersama. Sisi peribadi arwah yang selalu merendah diri dan kelakar sering menceriakan suasana. Arwah jarang nak marah dan dia memang fokus dengan kerjanya,” katanya.

Siti berkata, walaupun masing-masing membawa haluan sendiri selepas itu, dia tetap mengikuti perkembangan Bard menerusi media sosial.

“Ketika itu dia sudah ada keluarga sendiri tetapi sesekali kami akan berhubung juga. Dia pun tetap akan datang ke rumah ketika hari raya.

“Kami pun rapat seperti satu keluarga. Saya pun tahu dia memang tak sihat. Mana yang boleh saya bantu, saya bantu juga setakat yang termampu. Apabila mendapat tahu dia meninggal dunia, saya rasa sedih dan kehilangan. Kenangan bersamanya akan terus kekal sampai bila-bila. Allah lebih menyayanginya. Apapun kita doakan yang terbaik buatnya,” katanya.

Allahyarham meninggalkan dua cahaya mata, iaitu Nur’ Ain Batrisya, 15, serta Rizki Langit Ramadan, 12. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan AU4, Taman Permata, Kuala Lumpur selepas Zuhur, hari ini. Selain Siti, Bard juga berjaya menggilap nama beberapa artis popular bersama SRC antaranya Noraniza Idris, Mazleela, Liza Hanim, New Boyz, Tomok dan 2 By 2.

Dia turut mengendalikan urusan publisiti penyanyi Indonesia, Datuk Seri Rossa ketika berkunjung ke negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 6:34 PM