THE Mouseketeers sudah menemui penonton Disney sejak kelmarin. FOTO Aziah Azmee
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

RANCANGAN terkenal kanak-kanak, Club Mickey Mouse versi Malaysia yang pertama di Asia Tenggara, The Mouseketeers bakal kembali bagi musim ketiga dengan pengisian lebih interaktif.

The Mouseketeers musim ini padat dengan unsur hiburan, komedi dan permainan serta menampilkan kemunculan khas beberapa artis terkenal tanah air seperti Maya Karin dalam episod pertama program itu yang bermula 14 Jun lalu.

Club Mickey Mouse versi Malaysia musim ketiga masih diterajui oleh Ketua Mouseketeers, Charis dan enam Mouseketeers lain iaitu Faiz, Dheena, Gabriel, Erissa, Wafiy dan Ellya.

Berpeluang bertemu empat mata dengan semua Mouseketeers baru-baru ini, sememangnya memberikan kenangan manis apabila semua bintang itu teruja berkongsi pengalaman dan kenangan suka duka mereka sepanjang menjalani penggambaran rancangan berkenaan.

Bagi Charis, 27, yang bertindak sebagai Ketua Mouseketeers, dia mengakui semua yang terbabit dalam rancangan itu sudah dianggap seperti keluarganya dek keserasian yang wujud antara mereka.


CHARIS. FOTO Aziah Azmee

“Sejak musim pertama program ini bersiaran, saya tidak berdepan sebarang kesusahan untuk mencipta keserasian. Meskipun jauh beza usia saya dengan Mouseketeers lain, kami saling menyayangi. Tambahan pula, saya sukakan kanak-kanak.

“Sesi penggambaran juga berjalan lancar dan kami tiada masalah untuk bersatu dalam setiap babak yang perlu dibuat. Kami sangat profesional dan tidak sabar untuk melihat hasilnya.

“Saya akui program ini memberikan saya ilmu dan pengalaman baharu. Banyak perkara yang saya belajar dan raih untuk menjadi insan yang lebih baik pada masa depan,” katanya.

Hubungan lebih rapat

Memasuki musim ketiga siarannya, Wafiy mengakui program yang mencatat jumlah tontonan tinggi dalam saluran Disney itu sarat dengan mesej positif hingga diminati ramai.

“Kejayaan The Mouseketeers yang kini memasuki musim ketiga adalah disebabkan pihak produksi yang bijak memilih semua bintang untuk terbabit dalam program ini.

“Kami tidak menunggu masa yang lama untuk berkawan rapat. Malah, apabila penggambaran ini tamat, kami saling merindui antara satu sama lain.

“Saya lihat program ini mengetengahkan banyak pengisian dan mesej yang positif. Antaranya, nilai persahabatan yang tinggi.

“Penonton dapat lihat bagaimana kerja keras kami dalam memastikan setiap episod dibuat dengan bersungguh-sungguh.

“Jika tiada salah seorang daripada kami, program ini tidak dapat dibuat. Jadi, daripada situ kami membina semangat setiakawan dan betapa pentingnya nilai persahabatan itu,” katanya.


WAFIY. FOTO Aziah Azmee

Beralih kepada Faiz, 16, remaja kacak ini mengakui sejak membabitkan diri dalam program itu kehidupanya berubah 360 darjah.

“Ketika mula menyertai program ini banyak perkara yang saya tak tahu tetapi selepas beberapa musim, saya belajar banyak perkara.

“Kehidupan peribadi saya juga berubah secara mendadak apabila lebih dikenali di sekolah serta di luar.

“Biarpun pada mulanya terkejut, saya masih dapat mengawalnya serta mengaku seronok apabila dapat menjadi sebahagian keluarga The Mouseketeers,” katanya yang kerap berinteraksi dengan peminat menerusi Instagram.

Erissa dikenali di Filipina

Erissa pula tidak menyangka apabila dirinya tidak hanya dikenali di Malaysiamalah di negara Asia lain terutama Filipina.

“Saya mula membabitkan diri dalam industri seni menerusi program realiti Ceria Pop Star. Dari situ, saya sudah mula mengumpul pengikut dan jumlahnya bertambah apabila menyertai program ini terutama kanak-kanak.

“Lebih teruja apabila kami tidak hanya dikenali di Malaysia, juga di Filipina, Singapura, Vietnam dan beberapa negara lagi,” katanya yang teringin bertemu peminat di negara Asia lain.


ERISSA. FOTO Aziah Azmee

Gabriel yang berasal dari Selangor pula berkata, tiada istilah dengki atau cemburu sepanjang mengenali enam Mouseketeers lain kerana mereka sama-sama memiliki keunikan tersendiri.

“Kami ada peranan dan karakter masing-masing. Jadi, kenapa pula perlu cemburu atau ada sikap tidak puas hati?

“Seperti orang lain, kami melalui proses perkenalan normal dan kini semakin rapat.

“Jika tidak serasi, tidak mungkin program ini dapat diteruskan hingga ke hari ini dan mendapat sambutan luar biasa menerusi saluran Disney,” katanya riang.

Dheena mula dari teater

Bagi Dheena yang sebelum ini aktif di pentas teater, pernah terasa kekok untuk menyesuaikan diri dengan program tayangan televisyen.

“Sebelum menyertai Club Mickey Mouse, saya aktif di pentas teater. Jadi memang tak biasa beraksi di kaca TV.

“Bagaimanapun, berkat bantuan kawan-kawan dan pihak produksi saya mula menyesuaikan diri. Saya bersyukur terpilih menjadi sebahagian keluarga rancangan ini untuk musim ketiga,” katanya.


DHEENA. FOTO Aziah Azmee

Ellya yang mula menyertai keluarga The Mouseketeers pada musim kedua, pula mengharapkan program itu dapat memenangi hati penonton cilik seterusnya meraih rating tinggi.

“Kami semua menyimpan impian yang tinggi untuk memastikan penonton terhibur dengan program ini.

“Banyak usaha dan kelainan baharu yang cuba kami tampilkan. Program ini tidak hanya tertumpu pada kanak-kanak sebaliknya juga sesuai untuk seisi keluarga,” katanya.

Siri terbabit sudah disiarkan pada Jumaat lalu, jam 1 petang menerusi Disney Channel saluran 615 dan Astro On Demand.

Orang ramai boleh melayari laman YouTube rasmi Disney Channel Asia untuk mendapatkan pelbagai maklumat dan video terkini mengenai The Mouseketeers.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 8:02 AM