FADILAH Mansor berada disamping jenazah suaminya.
Ridzuan Abdul Rahman
Mohamadridzuan@hmetro.com.my

ISTERI Allahyarham Datuk A Rahman Hassan, Datin Fadilah Mansor, 59, meluahkan tidak berharap apa-apa selepas pemergian suami tercinta dan berhasrat berpindah keluar dari kediaman sekarang.

“Saya tidak berharap apa-apa daripada pihak arwah suami.

“Tidak mungkin saya boleh tinggal di kediaman kami kerana terlalu banyak kenangan indah dengan abang.

“Saya masih bersedih dengan kehilangan ini dan akan sentiasa mengenang detik indah kami bersama,” katanya yang berkahwin dengan Allahyarham pada 25 Disember 2014.

Fadilah bagaimanapun memberitahu, hubungannya dengan anak-anak arwah suami tetap baik dan mereka amat menghormatinya sebagai ibu.

Fadilah juga mengakui kasih sayang yang diperlihatkan terhadap arwah suaminya selama ini bukan dibuat-buat sebaliknya ikhlas dari hati.

Fadilah, 59, berkata, suaminya memiliki sikap terpuji dan berjiwa penyayang.

“Abang sangat menyayangi saya. Setiap masa dia berusaha ambil hati saya. Satu lagi sikap terpujinya ialah dia pandai ambil hati orang.

“Apa sahaja yang saya atau anak saudara masak untuknya, dia akan puji dan ucap terima kasih.

“Saya juga banyak belajar daripada abang terutama bagaimana untuk menyatukan keluarga. Memang terbaik dan saya amat kagum dengan kebolehannya,” katanya.

Fadilah juga menzahirkan rasa syukur kerana dapat menunaikan impian suaminya beraya di kampung halaman di Johor, minggu lalu.

“Ketika dimasukkan ke hospital pada Ramadan lalu, Allahyarham ada menyuarakan hasrat pulang ke Johor melawat adik arwah ayahnya yang sudah berusia 87 tahun.

“Walaupun ada masalah paru-paru berair dan lemah jantung, arwah tetap bersemangat terutama ketika tiba di rumah ibu saudaranya di Larkin, Johor,” katanya.

Menurut Fadilah, sebelum ini arwah suka memandu sendiri namun disebabkan faktor kesihatan anaknya yang memandu.

“Alhamdulillah, hajatnya untuk bertemu sanak saudara menjadi kenyataan pada hari raya kedua. Ramai datang menziarahinya di hotel yang menjadi tempat penginapan kami sekeluarga,” katanya.

A Rahman meninggal dunia pada usia 73 tahun di Hospital Ampang, Kuala Lumpur akibat strok dan pendarahan otak.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat selepas zohor tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 7:18 PM