FIZA kini menerima beberapa tawaran berlakon iklan.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PELAKON dan penyanyi Fiza Thomas kian popular selepas menjayakan iklan Aidilfitri berjudul Rendang SoRaya baru-baru ini.

Fiza atau nama sebenarnya Nur Hafizah Longkip @ Thomas berkata, ramai mula memanggilnya dengan nama 'Soraya', karakter lakonannya dalam iklan Aidilfitri Petronas itu.

"Selepas iklan itu keluar, ramai mula memanggil saya Soraya. Ada yang datang beraya di rumah saya dan ingin bertemu Soraya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut bekas peserta program realiti AF2016 itu lagi, ada juga yang ingin merasa rendang seperti mana yang dimasak oleh Soraya dalam iklan itu.

"Mujurlah saya pun dah hafal bahan-bahan dan resipi masakannya sebab sewaktu penggambaran, banyak kali ulang rakaman. Jadi, saya cabar diri untuk masak resipi rendang Negeri Sembilan itu," katanya.

Cabaran terbesar buatnya apabila perlu bertutur dalam loghat Negeri Sembilan.

"Pada awalnya, risau juga sebab takut saya salah sebut. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan ramai mesej di Instagram saya dan berkata, dialek Negeri Sembilan yang saya tuturkan kedengaran comel," katanya.

Berikutan iklan itu juga, Fiza kini menerima beberapa tawaran berlakon iklan.

"Alhamdulillah, selepas muncul dalam iklan Rendang SoRaya, ada beberapa syarikat produksi iklan yang menghubungi saya dan menawarkan untuk berlakon.

"Jadi, saya akan pulang ke Kuala Lumpur lebih awal daripada tarikh yang dirancang sebab nak jayakan penggambaran iklan," katanya.

Dalam iklan itu, Fiza sebagai Soraya pulang beraya di kampung halamannya dan cuba sebaik mungkin untuk menghasilkan rendang menggunakan resipi arwah ibunya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 6:33 PM