LUQMAN bersama ibu, dua adik ketika kunjungi Makkah, Madinah.
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


DAPAT mengaminkan doa imam bersama ibu tersayang dan menyambut Aidilfitri di Tanah Suci antara pengalaman manis pelakon Luqman Hafidz sepanjang menunaikan ibadah umrah.

Luqman bertolak ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah pada 28 Mei bersama ibu dan dua adik perempuannya serta pulang ke tanah air, 8 Jun lalu.

Sewaktu dihubungi untuk berkongsi pengalaman yang dilalui sepanjang berada di Madinah dan Makkah, Luqman berkata, dia bertuah kerana dapat menyambut lebaran di sana.

Tambahnya, Arab Saudi menyambut Aidilfitri sehari awal berbanding Malaysia. Selain melihat anak bulan, mereka yang mengerjakan umrah sudah dapat menjangka menyambut Aidilfitri awal apabila imam membaca doa selepas menghabiskan bacaan 30 juzuk al-Quran pada malam terakhir solat Tarawih.

“Suasana menyambut hari raya di Makkah sangat meriah kerana masing-masing berebut mahu melaksanakan ibadah.

“Jutaan manusia memenuhi Masjidilharam sehinggakan ada yang terpaksa solat di jalan sepanjang 3 kilometer.

“Melihat situasi itu terasa sayang andai kita solat dalam bilik sedangkan jemaah lain berebut-rebut mahu ke masjid. Ketika itu kita akan jadi bersemangat meskipun tempat terhad kerana terlalu ramai umat Islam yang datang dari serata dunia berkumpul,” katanya.


TAMPIL menarik untuk acara formal mahupun kasual.

Kata Luqman lagi, pengalaman paling menarik apabila malam terakhir Ramadan terutama pada 27 dan 29 Ramadan yang dianggap kemuncak sehinggakan begitu ramai jemaah berpusu-pusu ke masjid sehingga jalan terpaksa ditutup.

“Rezeki saya dan mak, kami yang baru selesai melakukan ibadah umrah kebetulan duduk di tepi jalan kerana kepenatan. Ketika itu jalan ke hotel sudah ditutup. Maklumlah, sebaik sahaja sampai di hotel di Makkah dari Madinah, kami terus keluar untuk melaksanakan ibadah umrah.

“Jutaan jemaah sedang melaksanakan sembahyang tahajud sehingga jalan ditutup dan kami tidak dapat pulang ke hotel. Imam pula sedang menangis ketika membaca doa.

“Saya dan ibu menjadi hiba mendengar doa dibacakan dan kata ibu, dulu dia pernah berdoa dan memohon mahu mengaminkan doa imam Masjidilharam. Ternyata doanya diangkat dan menjadi kenyataan,” kata Luqman.

Sambung Luqman lagi, terasa cukup istimewa apabila dirinya bukan sahaja berpeluang beraya di Makkah tetapi perasaan itu bertamu di hati setiap kali berpeluang beribadah di hadapan Kaabah.

“Setiap kali melihat Kaabah saya terpaku. Rasa tak puas pandang. Itulah kelebihan Kaabah, rasa nak tengok sahaja. Bayangkan orang berpusu-pusu masuk masjid, solat, tak berhenti baca doa dan zikir. Rasa seakan-akan seperti semua sedang berlumba-lumba merebut tiket ke syurga. Itu antara perkara yang saya tidak pernah rasa sebelum ini. Syukur, ibadah umrah saya bersama keluarga dipermudahkan,” katanya.

Berkongsi pengalaman manis lain, Luqman berkata, dia dapat solat di hadapan makam Baginda Rasulullah SAW dan dia turut tertarik dengan suasana berbuka puasa di Masjid Nabawi yang terletak di Madinah.

“Masjid Nabawi sangat cantik. Sewaktu berbuka saya suka dengan suasananya. Dapat rasa ukhuwah sesama umat Islam apabila berkongsi juadah walaupun tidak kenal antara satu sama lain.

“Juadah berbuka di sana sederhana sahaja iaitu roti, kurma, yogurt, perasa serbuk kari dan air kosong. Ada jemaah akan bawa makanan lain dan mereka akan berkongsi dengan orang ramai. Saya sangat tersentuh hati melihat kebaikan itu,” katanya.

Jelasnya lagi, jemaah yang sudah selesai melakukan umrah akan menggunakan masa yang ada untuk beriktikaf di dalam masjid Nabawi dan Masjidilharam dengan membaca al-Quran, berzikir serta melakukan solat wajib dan sunat.

Tempoh berpuasa di Tanah Suci juga agak panjang iaitu subuh sekitar jam 4 pagi dan berbuka jam 7 malam kerana musim panas serta suhu mencecah 44 darjah Celsius.

“Pada waktu siang ramai jemaah akan pulang ke bilik selepas selesai solat terutama warga emas. Ini kerana cuaca panas boleh menyebabkan pening kepala.

“Mujur cuaca panasnya kering dan menjadi satu kelebihan untuk beribadah di Madinah mahupun Makkah,” katanya.

Berkongsi mengenai makanan di sana, kata Luqman, dia gembira dapat menikmati juadah Arab yang asli dan rasanya sangat enak.

“Saya suka aiskrim dan mangga di sana. Ia sesuai dinikmati dalam cuaca panas terik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 5:30 AM