AZWAN bersama anaknya, Harum Dahlia ketika mendapat rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Damansara. FOTO Instagram Ezzaty Abdullah
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


PELAKON, Azwan Kombos dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Kota Damansara malam tadi kerana mendapat serangan asma.

Isterinya, yang juga pelakon, Ezzaty Abdullah berkata, Azwan mendapat serangan secara tiba-tiba dan keadaannya agak teruk membuatkan pelakon drama mini siri, Empat Penjuru itu bergegas membawa suaminya ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, Azwan memang mempunyai masalah asma sejak kecil.

“Selalunya serangan asma berlaku tidak teruk dan apabila menggunakan pam inhaler, keadaan menjadi baik.

“Bagaimanapun malam tadi walaupun menggunakan pam inhaler keadaannya tidak berubah, malah menjadi semakin teruk,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Menurutnya, serangan sama juga pernah berlaku kepada Azwan dua tahun lalu, tetapi aktor itu tidak mahu masuk wad.

“Tidak semalam, saya berkeras supaya dia mendapatkan rawatan sempurna. Apabila dimasukkan ke hospital, doktor dapat melakukan pemeriksaan lebih rapi membabitkan penyakitnya,” katanya.

Ezzaty juga melahirkan rasa syukur apabila doktor memberitahu keadaan suaminya baik dan tiada perkara serius berlaku serta kemungkinan boleh pulang dalam masa terdekat.

Ezzaty dan Azwan berkahwin pada Julai 2016 dan dikurniakan anak perempuan, Harum Dahlia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 4:31 PM