GAMBAR Reen berpakaian seksi ketika bercuti di pulau peranginan dikecam warganet. FOTO Instagram Reen Rahim
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


“SAYA sedia terima teguran dan kritikan daripada warganet kerana tidak boleh halang mereka untuk berbuat demikian.

“Sebagai artis, saya hanya menerima kritikan membina dan positif tapi yang buruk ketepikan saja.

“Doakanlah yang baik untuk saya,” kata pelakon Reen Rahim ketika mengulas mengenai penampilan seksinya ketika bercuti di pulau peranginan, baru-baru ini.

Menurut pelakon yang dikenali dengan watak Kak Su dalam drama bersiri Pujaan Hati Kanda, dia juga sudah lali dengan kecaman warganet mengenai imej seksinya itu.

“Biarlah orang nak cakap apa pun kerana itu hak individu.

“Apa yang penting, saya selesa dengan apa yang dipakai dan menjadi diri sendiri,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas mengenai watak Kak Su lakonannya yang tular, kata Reen, dia bersyukur kerana ia masih diingati peminat sampai sekarang.

“Sampai hari ini, orang masih panggil saya dengan nama Kak Su dan ia membuktikan lakonan diterima peminat.

“Selepas bercuti sebulan, saya akan kembali ke lokasi penggambaran drama baru pada Julai nanti,” katanya.

Terdahulu, Reen memuat naik tiga gambarnya berpakaian seksi ketika bercuti di pulau peranginan, baru-baru ini.

Namun, penampilan seksinya mendapat kecaman daripada warganet di laman Instagram miliknya hingga Reen terpaksa menutup ruangan komen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 3:21 PM