RAMLI beri persembahan terbaik dalam Konsert Minggu Ini
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


BUKAN mudah bergelar penghibur. Diakui ramai penyanyi boleh menyanyi dengan baik tetapi bukan semua mampu menghiburkan peminat ketika beraksi di atas pentas.

Bagaimanapun, situasi berbeza ditunjukkan Datuk Ramli Sarip apabila memberikan persembahan hebat dalam Konsert Minggu Ini yang berlangsung Sabtu lalu di TV2 RTM.

Biarpun dalam mood raya dan ramai masih di kampung, konsert yang berlangsung pada raya keempat bertemakan Blues Di Aidilfitri itu tetap berjaya menarik kehadiran peminat untuk memenuhi Auditorium Perdana, Angkasapuri.

Penyanyi yang mendapat jolokan Papa Rock itu menampilkan konsep persembahan yang santai dan memilih membuka pentas dengan lagu Suara Takbir dan diikuti Musafir Di Aidilfitri.


SENDA gurau Ramli dan Tomok undang gelak ketawa penonton.

Keindahan suasana hari raya begitu terasa dan ada antara penonton menangis kerana amat menghayati persembahan itu.

Ramli kemudian meneruskan persembahan dengan lagu Blues Felda Blues, Blues Generasiku dan Budaya.

Penonton membuktikan mereka peminat setia Ramli apabila mampu menyanyi bersama penyanyi kesayangan ramai itu.

Suara yang mantap serta komunikasi yang baik menjadikan konsert itu cukup menarik. Aura Ramli memenuhi setiap ruang Auditorium Perdana. Dia bintang otai berbisa kerana mampu menghiburkan penonton tanpa prop yang bukan-bukan.

Tidak keterlaluan dikatakan Ramli adalah penghibur sebenar. Dia bukan sahaja beraksi di atas pentas tetapi turut mengambil kesempatan mendekati peminat untuk menyanyi bersama mereka.

Paling mencuit hati apabila seorang peminat wanita membantu mengeringkan peluh di dahinya dan Ramli sangat sporting.

Tidak ketinggalan Ramli turut melamar Tomok sebagai penyanyi undangan untuk berduet menerusi lagu Jikalau Berkasih, Lagu Zaman, Kasih Tak Kesampaian, Dilema, Teratai, Seri Hari Raya, Istilah Bercinta dan Kamelia.

Ramli sempat mengusik Tomok apabila memanggil penyanyi itu cucu manakala Tomok pula memanggilnya atuk. Penonton yang menyaksikan gelagat mereka nyata terhibur dan turut ketawa.

Bagi memuaskan hati peminat, Tomok turut menyampaikan lagu popularnya berjudul Meraung. Usaha RTM yang memberikan peluang kepada penyanyi senior sebegini wajar dipuji.


RAMLI bersama peminat.

Penyanyi generasi baru atau Budak Baru Nak Up (BBNU) wajar menonton persembahan Ramli untuk mempelajari skil dan komunikasi artis lama dengan peminat.

Tahniah diucapkan kepada penerbitnya, Sarena Mohd Salleh kerana menampilkan formula terbaik dalam konsert berkenaan.

Sarena mengakui amat berpuas hati dengan perjalanan konsert itu serta persembahan Ramli Sarip dan Tomok.

“Persembahannya amat menghiburkan dan konsert berdurasi 1 jam 30 minit ini terasa berlangsung begitu sekejap.

“Saya berbincang dengan Datuk Ramli supaya menyanyikan lagu-lagu yang jarang dibawakan dan strategi ini menjadi.

“Sebenarnya lagu-lagu ini juga popular serta ada maksud tersendiri dan cerita di sebaliknya,” katanya. Dia turut memuji gandingan Ramli dan Tomok serta kerjasama penonton yang hadir, sekali gus memastikan konsert terbabit berjaya.

Sabtu ini (15 Jun), Sarena sekali lagi akan menerbitkan Konsert Minggu Ini yang menampilkan kumpulan Gerhana Skacinta.

“Konsert ini diadakan sempena ulang tahun ke-20 kewujudan GSC. Mereka yang berminat boleh hadir ke Auditorium Perdana, Angkasapuri untuk menonton.

“Ia juga akan disiarkan secara langsung menerusi TV2 pada jam 9 malam hingga 10.30 malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 4:30 AM