AZRINAZ hamil enam bulan menerusi perkahwinan keduanya dengan Fairos Khan. FOTO Instagram Azrinaz Mazhar Hakim
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


BEKAS personaliti TV3, Azrinaz Mazhar Hakim mengesahkan dirinya hamil dengan kandungan mencecah usia enam bulan.

Azrinaz, 40, menerusi hantaran di Instagram berkata, kehamilan ketiga dan yang pertama menerusi perkahwinan keduanya dengan Fairos Khan Abdul Hamid terhasil tanpa bantuan teknologi moden.

“Di kesempatan ini, saya ingin kongsikan berita yang selama ini belum kami kongsikan secara umum. Setinggi-tinggi syukur saya sudah melepasi peringkat kedua kehamilan.

“Berkat doa ibu bapa, sahabat handai serta kalian yang amat saya kasihi. Allah memberikan saya peluang sekali lagi untuk mempunyai zuriat buat kali ketiga.

“Alhamdulillah, bayi ini terhasil tanpa bantuan teknologi moden. Namun saya akui, untuk berbadan dua pada usia yang bukan lagi remaja, tidaklah semudah 11 tahun lalu,” katanya.

Menerusi status sama, Azrinaz juga berdoa semoga bayi dalam kandungannya sihat dan selamat dilahirkan kelak.

“Diharapkan semoga kandungan yang berusia enam bulan ini akan terus dititipkan dalam setiap doa kalian supaya bayi ini dilahirkan sempurna, cukup sifat, sihat dan secara normal tanpa sebarang komplikasi,” katanya.

Azrinaz dan Fairos berkahwin pada 1 Mei tahun lalu dan ia adalah perkahwinan kedua Azrinaz.

Menerusi perkahwinan pertama dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sebelum ini, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Pengiran Muda Abdul Wakeel, 13, dan Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, 11.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 9:15 PM