DIANA dalam akaun Instagram miliknya. FOTO/IG Diana Danielle
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


PELAKON Datin Diana Danielle mengabadikan foto lama mereka sekeluarga ketika meraikan Aidilfitri lalu bersama suami juga pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil yang tidak dapat meraikan Aidilfitri tahun ini selepas dijatuhi dihukum penjara.

Menerusi satu hantaran di Instagram hari ini, Diana, 28, berkata, mereka sekeluarga akan sentiasa menyayangi Farid.

“Kami sayang anda Babah. Anda adalah pusat graviti, pelindung kami, pelawak kami, imam kami dan segala-galanya. Anda adalah cinta hati dan kami sangat bersyukur memiliki anda,” tulisnya.

Dalam pada itu, Diana turut mendedikasikan ucapan Aidilfitri kali ini buat rakyat Syria dan Palestin yang menjadi mangsa peperangan.

“Raya kali ini, saya doakan Syria, Palestin dan semua negara yang berdepan peperangan akan bebas daripada kekejaman serta kemusnahan.

“Semoga kita terus teguh berdiri menentang tindakan tidak berperikemanusiaan ini, mengubah polisi supaya dapat menyediakan dan menyokong pelarian memasuki negara kita,” tulisnya.

Pada 15 Mei lalu, Farid, 38, dihukum penjara sembilan bulan atas kesalahan menggunakan dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC), tahun lalu.

Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad dan Nur Aurora.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 7:18 PM