EYKA Farhana lega apabila doktor memaklumkan dia tidak perlu menjalani pembedahan.
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


PELAKON Eyka Farhana lega apabila doktor memaklumkan dia tidak perlu menjalani pembedahan, sebaliknya hanya perlu makan ubat yang dibekalkan.

Baru-baru ini, Eyka dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit di bahagian perut ketika menjalani penggambaran drama bersiri, Cinta Itu Fairytale.

Hasil pemeriksaan kemudian mendapati terdapat ketumbuhan dalam perutnya dan doktor mencadangkan Eyka menjalani pembedahan segera.

Bagaimanapun, pelakon yang mula dikenali menerusi filem Juvana dan Polis Evo itu meminta pihak hospital tidak melakukan pembedahan kerana ketika itu dia sedang menjalani penggambaran drama.

Eyka berkata, sepanjang menjalani penggambaran Cinta Itu Fairytale, dia hanya mengambil ubat penahan sakit.

“Saya kemudian berasakan tahap kesihatan sudah semakin baik dan sakit di bahagian perut juga sudah tidak ada.

“Bagi memastikan keputusan sama ada perlu dibedah itu tepat atau tidak, saya mendapatkan pandangan doktor pakar di sebuah pusat perubatan lain. Hasil pemeriksaan beliau memaklumkan saya tidak perlu dibedah dan hanya perlu makan ubat,” katanya.

Menurut Eyka, doktor pakar itu memaklumkan masalah kesihatan yang dialaminya itu boleh sembuh dan ketumbuhan itu akan hilang dengan sendirinya.
Mengikut perancangan awal, Eyka sepatutnya menjalani pembedahan Khamis lalu.

“Bayangkan dengan sambutan Aidilfitri dan keluarga sibuk membuat persiapan, saya terpaksa terbaring di hospital selepas pembedahan. Mujur perkara itu tidak berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 2:53 PM