STACY tersasul apabila membaca berita menggunakan bahasa Melayu betul. FOTO Instagram Stacy
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


"NASIB baik bukan 'live', kalau tak, tak tahu nak letak muka di mana," kata penyanyi popular, Stacy yang tersasul menyebut perkataan persetubuhan yang sepatutnya disebut pertubuhan.

Perkara itu dikongsikan Stacy, 29, atau Ummu Shaikhah Stacy Anam di Instagram ketika dipilih menjadi penyampai berita bagi segmen Komuniti Awani semalam.

Stacy berkata, bukan mudah mahu membaca berita menggunakan bahasa Melayu kerana dia mempunyai loghat Sabah yang pekat.

"Pada awalnya saya yakin saja. Tapi, tidak menjangka pula akan tersasul. Kelakar dan dalam masa sama malu juga. Satu studio tergelak.

"Apatah lagi ini pengalaman pertama saya. Kalau di rumah, saya memang menggunakan dialek Sabah sebagai bahasa pertuturan.

"Jadi, apabila diberi peluang baca berita menggunakan bahasa Melayu betul, itu yang sampai terbelit lidah. Perkataan pertubuhan pun menjadi persetubuhan. Maafkan saya, saya tidak sengaja," katanya kepada Harian Metro.

Stacy yang popular menerusi lagu Cakap Ke Tangan berkata, sepanjang proses rakaman berlangsung, dia beberapa kali tersasul menyebut perkataan 'kotor'.

"Sebenarnya ada beberapa perkataan lain lagi yang saya tersasul. Semuanya berunsur lucah. Saya pun tak pasti kenapa boleh terjadi. Adakah sebab terlalu lapar? Atau adakah ini dugaan Ramadan?," katanya.

Video di sebalik tabir rakaman program itu tular di laman sosial sejak semalam hingga mencecah tontonan lebih 400,000 dan mendapat lebih 3,000 komen.

Meskipun tersasul, kebanyakan komen yang ditulis menyifatkan aksi Stacy itu kelakar dan comel.

Stacy sekali lagi akan muncul dalam segmen itu pada hari ini dan esok, jam 8.15 malam di saluran Astro Awani.

Selain Stacy, antara artis yang pernah dan bakal muncul dalam segmen sama adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Misha Omar, Syafiq Kyle, Farah Nabilah, Wany Hasrita dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 2:25 PM