AMELINA terngat arwah bapa setiap kali lihat video lama suasana hari raya bersama keluarga. FOTO Instagram Amelina dan Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PENYANYI dangdut, Amelina mengakui rakaman video lama daripada program TV3 mengubat rindu terhadap arwah bapanya, Amir Sharipuddin Abdul Rauf yang meninggal dunia hampir sedekad lalu.

Amelina, 45, atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin berkata, video itu menjadi kenangan terakhir dirinya bersama arwah sebelum 'menghilangkan diri' selama 15 tahun.

"Ini adalah kenangan terakhir saya bersama arwah abah dan keluarga kecil kami. Kak Long (saya) cuma ada seorang adik lelaki, Angah dan adik perempuan, Adik.

"Selama 15 tahun Kak Long beraya bertemankan kenangan ini. Setiap kali Aidilfitri, Kak Long akan menatap video ini untuk melepaskan rindu," katanya.

Menerusi status dimuat naik Amelina, sepanjang ketiadaannya dia pernah dituduh berdosa dan derhaka terhadap keluarga.

"Walaupun ramai menganggap Kak Long bersalah, berdosa dan derhaka, tetapi sesungguhnya Kak Long tersepit antara ketaatan dan rumah tangga keluarga.

"Selepas bertahun berlalu, Kak Long kembali berhimpun bersama ibu dan adik-beradik walaupun abah sudah tiada. Tapi kenangan abah sentiasa di hati.

"Kak Long yakin abah tak marah Kak Long kerana abah lebih memahami mengenai erti ketaatan Kak Long untuk siapa pada saat itu. Along rindu abah," katanya.

Video itu sudah mencecah 20,000 tontonan dan mendapat lebih 100 komen sejak dimuat naik semalam.

Perkembangan lain, Amelina yang popular menerusi lagu Asyik muncul dalam filem pendek dan iklan raya Air Mata Kak Long yang ditayangkan di saluran YouTube Jaa TV sejak 29 Mei lalu.

Filem pendek berdurasi 10 minit 45 saat itu diterbitkan syarikat pengurusan Mind Order serta turut menampilkan pelakon Erra Fazira, Fasha Sandha dan Jaa Suzuran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 4:41 PM