SARAH tidak menyangka kisah Shuib meminta izin membeli motosikal menjadi isu besar. FOTO Instagram Shuib
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PENYANYI popular, Siti Sarah tidak menjangka tindakan suaminya yang juga pelawak, Shuib Sepahtu meminta izin untuk membeli motosikal menjadi isu besar dalam kalangan warganet.

Menurut Siti Sarah Raissuddin, 35, atau mesra disapa Sarah, tindakan suaminya itu dianggap dayus oleh golongan lelaki yang berasakan Shuib tidak sepatutnya berbuat sedemikian.

Dalam satu komen di Instagram Sarah, seorang warganet menulis bodoh bagi suami apabila meminta izin isteri untuk membeli motosikal, sedangkan lelaki adalah ketua keluarga dan menanggung dosa isteri.

"Tidak menjangka pula kisah Shuib minta izin beli motosikal menjadi isu besar. Apa yang peliknya, ramai lelaki menganggap berterus-terang dengan isteri atau menghormati isteri adalah sesuatu yang dayus.

"Alhamdulillah, saya bersyukur pada Allah kerana pinjamkan seorang suami yang baik dan bertanggungjawab. Walhal dia boleh beli lebih daripada motor tanpa bertanya pun pada saya.

"Saya tak faham, lelaki yang berkata sedemikian menganggap menipu isteri itu lebih berani daripada berterus-terang yang dianggap dayus," katanya.

Pun begitu, Sarah yang popular menerusi lagu Semakin berdoa supaya Allah mengampunkan dosa mereka yang sudah menyakiti hati suaminya.

"Ya Allah, ampunilah dosa mereka sekiranya kata mereka menyakiti suamiku," katanya.


SHUIB bersama motosikal Yamaha Y15 yang dibelinya selepas dua kali meminta izin daripada Sarah. FOTO Instagram Shuib

Terdahulu, Shuib yang juga penyampai radio Hot FM memuat naik gambar motosikal Yamaha jenis Y15 berwarna kuning.

Menerusi status itu, Shuib berkata sudah dua kali dia meminta izin daripada Sarah untuk membeli motosikal itu.

"Ibu (Sarah) memang betul la kawan Didi (saya) cakap motor ni sedap dibawa, cantik, tak banyak masalah dan motor ni sesuai untuk Didi bawa ibu jalan di waktu petang hari.

"Dan orang cakap naik motor ni boleh mengeratkan lagi kasih sayang. Nak motor ni bu. Dah dua kali minta ni," tulisnya.

Kemudian, Shuib sekali lagi memuat naik status bersama motosikal itu kelmarin dan memaklumkan dia sudah membelinya.

"Salam Jumaat, akhirnya dapat juga. Alhamdulillah, penat pujuk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 4:12 PM