ADAM LEVINE
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


SELEPAS 16 musim bersama program realiti The Voice, Adam Levine akhirnya menamatkan tugasnya sebagai jurulatih di kerusi merahnya untuk musim ke-17.

Berita itu buat pertama kalinya dikongsikan pengacara The Voice, Carson Daly dalam satu program bual bicara.

Beberapa jam selepas itu, Adam berkongsi berita itu di Instagram menerusi satu status panjang.

“Kira-kira lapan tahun lalu, Mark Burnett meyakinkan saya untuk turut serta dalam program apabila saya akan duduk di kerusi besar berwarna merah, membelakangkan peserta yang menyanyi,” tulisnya.

Dalam ruangan kapsyen yang disertakan dengan gambar kulit depan majalah Rolling Stone itu juga, Adam menulis ucapan terima kasih kepada mereka yang ada bersamanya sepanjang perjalanan di The Voice.

“Pertama sekali, saya ucapkan terima kasih kepada Mark. Kami tak tahu apa yang kami lakukan dan ke mana arah tujunya pada ketika itu.

“Saya pernah berkata kepada diri sendiri, satu keajaiban akan berlaku di sini dan ia memang berlaku. Semuanya menjadi pengalaman yang sentiasa melekat dalam hati saya selamanya,” tulisnya.

Adam juga mengucapkan terima kasih kepada NBC selaku stesen yang menyiarkan program itu dan semua jurulatih serta pengacara.

“Tak lupa kepada Carson Daly yang menjaga semua pemuzik, pastikan semua dalam keadaan baik dan terjaga dengan rapi. Anda adalah tulang belakang program ini,” tulisnya.

Dalam status itu juga, Adam juga meluahkan rasa sayangnya kepada sahabat, Blake Shelton.

“Saya tak dapat sembunyikan rasa sayang saya terhadap anda. Sejujurnya, saya cuba, namun sukar. Persahabatan kita akan sentiasa kekal.

“Walau apa pun cabaran yang kita hadapi sepanjang perjalanan bersama The Voice ini, saya sangat gembira kerana ada bersama anda.

“Anda adalah abang saya. Kelly (Clarkson) dan John (Legend), jaga ‘cowboy’ ini dengan baik dan saya pasti akan kembali selepas ini,” tulisnya.

Adam muncul bersama The Voice pada 2011 bersama Blake, Cee Lo Green dan Christina Aguilera. Dia dan Blake menjadi jurulatih yang kekal bersama The Voice sejak musim pertama.

Sepanjang 16 musim, Adam pernah memenangi tiga musim bersama pesertanya iaitu Javier Colon sejak musim pertama, Tessane Chin (musim kelima) dan Jordan Smith (musim kesembilan).

Musim ke-17 bakal menyaksikan Gwen Stefani yang akan kembali menggantikan tempat Adam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 5:01 AM