NORLIA ambil peluang berdoa dan serah diri kepada Allah sepenuhnya ketika di Makkah. FOTO Zunnur Al Shafiq
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


“SAYA dapat rasa seperti ada orang yang sengaja buat khianat,” kata pelakon Norlia Ghani mengenai kesukarannya mendapat tawaran berlakon sepanjang tahun lalu.

Norlia, 70, yang lebih dikenali sebagai Joyah menerusi siri popular Opah pada era 80-an berkata, setahun dia tidak menerima sebarang tawaran berlakon dan bergantung hidup dengan anak.

“Dalam Islam kita tak digalakkan untuk percaya pada benda begini. Tapi secara peribadi, rasa ada orang yang buat begini terhadap saya.

“Dia buat ilmu hitam supaya orang tak nampak saya, tak nampak rumah dan saya sakit. Bukan tiada tawaran kerana tawaran memang ada.

“Tapi apabila ditawarkan saja, saya jatuh sakit dan kaki bengkak tak boleh berjalan. Apabila dipanggil buat suara latar untuk iklan, suara saya hilang pula,” katanya kepada Harian Metro.

Norlia bersyukur kerana pelawaan seorang kenamaan yang menajanya menunaikan haji pada tahun lalu, berjaya mengubah keadaan.

“Puan Sri Rina ajak tunaikan haji dalam keadaan saya tiada duit langsung dalam tangan.

“Di Makkah saya ambil peluang berdoa dan serah diri kepada Allah sepenuhnya. Saya tak buat atau kacau orang, tapi biarlah Allah yang membalasnya.

“Saya tahu orang industri juga yang buat perkara ini terhadap saya. Apapun saya maafkan dia. Lagipun saya anggap orang industri semua kawan. Tapi kalau di belakang dia anggap saya musuh atau saingannya, itu terpulanglah,” katanya.

Norlia bersyukur kerana selepas pulang ke Malaysia, dia ditawarkan berlakon drama Setelah Terlafaznya Akad arahan Michael Ang.

“Syukur kerana rezeki saya terbuka semula. Selepas habis dengan Michael Ang, saya berlakon pula telefilem raya berjudul Syawal Untuk Semah arahan Rashid Sibir.

“Ini kali pertama saya bekerja dengan Michael Ang dan dia seorang yang bagus. Walaupun orang kata mulutnya bising tapi dia amat menghormati saya. Hatinya baik dan saya gembira berlakon dengannya.

“Manakala, Rashid pula memang dikenali sebagai penyelamat artis veteran. Dia sanggup buat skrip khas bagi membolehkan kami berlakon,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 6:19 PM