ZIZAN tertidur di lokasi penggambaran filem Abang Long Fadil 3 kerana terlalu penat. FOTO Instagram Zizan Razak
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


MUNGKIN dek penat sering disoal bila nak kahwin, pelakon Zizan Razak berkongsi beberapa foto dia 'tertidur' di set penggambaran dan penjelasan ringkas punca belum bertemu jodoh sesuai.

"Dan gambar ini juga membuatkan saya tersedar juga kenapa tiada masa untuk diri sendiri apatah lagi mahu berpasangan.

“Mungkin soalan ‘bila nak kahwin?’ terjawab buat mereka yang sentiasa bertanya,” tulisnya di Instagram.

Sebelum ini, pelakon itu pernah dikaitkan memiliki hubungan istimewa dengan pelakon Mira Filzah namun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan daripada kedua belah pihak.

Dalam status sama, Zizan yang sibuk di set penggambaran Abang Long Fadil 3 arahan Syafiq Yusof, turut berharap penonton menghentikan tindakan membocorkan filem tempatan dan menyokong karya dengan menonton di pawagam.

"Sejujurnya ini gambar waktu bekerja dan saya pun tak perasan boleh tertidur ketika penggambaran. Mungkin terlalu penat fizikal.

"Tetapi mental saya tidak pernah kalah untuk terus berjuang dan berkarya," tulisnya memberitahu gambar tertidur di set itu diambil oleh pembantu peribadinya.

Katanya, gambar itu juga membuatkan dia terfikir mengenai segelintir pihak tidak bertanggungjawab membocorkan filem tempatan yang tidak menghargai penat lelah mereka sebagai anak seni dalam berkarya.

“Bermula hari ini belajarlah untuk ada perasaan bertanggungjawab dan belas kasihan,” tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 5:58 PM