EYKA berasa bertanggungjawab untuk menyudahkan penggambaran drama arahan Tam Suhaimi itu kerana ia membabitkan banyak pihak. FOTO Rohanis Shukri
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


PELAKON Eyka Farhana yang dikejarkan ke hospital baru-baru ini, membuat keputusan untuk menangguhkan pembedahan yang sepatutnya dilakukan minggu lalu bagi mengubati masalah kesihatan dihadapi di bahagian perut.

Eyka bagaimanapun berkata, perkara itu dilakukan atas kebenaran pihak doktor bagi membolehkan dia menghabiskan penggambaran drama bersiri terbaru, Cinta Itu Fairytale.

“Masalah kesihatan yang dihadapi masih terkawal dan atas alasan ini juga doktor membenarkan saya menangguhkan pembedahan yang mahu dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Menurutnya, dia berasa bertanggungjawab untuk menyudahkan penggambaran drama arahan Tam Suhaimi itu kerana ia membabitkan banyak pihak.

“Mujur doktor mengatakan masalah kesihatan yang hadapi masih terkawal, jadi saya boleh menyudahkan kerja tertangguh.

“Lagipun kasihan juga dengan pihak produksi dan pelakon lain andai saya terpaksa meninggalkan set dalam tempoh masa panjang.

“Bayangkan kalau saya harus menjalani pembedahan, sudah tentu harus berehat dua hingga tiga minggu, sedangkan masing-masing sudah memberikan komitmen untuk menyudahkan penggambaran drama Cinta Itu Fairytale,” katanya.

Dalam waktu sama katanya, dia amat berterima kasih kerana pihak produksi dan pelakon drama terbabit, sangat prihatin serta memahami masalah kesihatan yang dihadapinya.

“Setiap hari mereka akan bertanya kepada saya sama ada keadaan baik atau tidak dan mampu untuk bekerja atau tidak? Dengan ubat yang dibekalkan oleh doktor, membolehkan saya bertahan dan mampu bekerja dengan baik.

“Disebabkan saya harus menjalani pembedahan ini juga, pihak produksi dan pengarah mempercepatkan penggambaran. Walaupun ia sepatutnya habis pada 30 Mei tetapi ia berjaya disudahkan esok.

“Ia secara tidak langsung membantu saya untuk bertemu doktor bagi menetapkan tarikh bagi membolehkan pembedahan dijalankan. Saya berterima kasih kepada semua pihak dalam produksi Cinta Itu Fairytale atas kerjasama diberikan dan memahami situasi yang dihadapi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 5:31 PM