AHMAD Izham (tengah) bersama Pengarah Unit Pengurusan Aset Digital Perlesenan dan Pembarangan Media Prima Berhad, Airin Zainul serta Ketua Pegawai Eksekutif Blindspot Studios, Lukman Nul Hakim bergambar beramai selepas Majlis Pelancaran Animasi, di Icity Mall. FOTO/NUR ADIBAH AHMAD IZAM.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PRIMEWORKS Studios bekerjasama dengan Blindspot Studios menghasilkan siri animasi terbaru Alif & Sofia yang dilancarkan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, misi utama kerjasama itu adalah untuk memajukan animasi 3D ini sebagai harta intelek.

"Primeworks Studios sangat teruja dengan pelancaran animasi terbaru dan pertama di platform digital ini. Pelaburan yang diletakkan untuk memajukan Alif & Sofia ini adalah sebahagian daripada misi kami dalam pembangunan dan mengembangkan harta intelek animasi Primeworks Studios.

“Pelaburan yang diletakkan untuk memajukan Alif & Sofia ini adalah sebahagian daripada misi kami dalam pembangunan dan mengembangkan harta intelek animasi Primeworks Studios.

Selain itu, ia juga untuk mengembangkan portfolio perlesenan dan perdagangan sebagai salah satu strategi perniagaan syarikat di masa depan," katanya.

Menurut Ahmad Izham, pihaknya juga berharap animasi Alif & Sofia mampu menempa kejayaan seperti animasi Ejen Ali.

"Selepas berjaya membawa Ejen Ali ke mata dunia, kini kami berharap dapat mengulangi kejayaan sama dengan memperkenalkan animasi baru, khas buat kanak-kanak pra sekolah dan ibu bapa," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Blindspot Studios, Lukman Nul Hakim meluahkan rasa teruja untuk berkongsi versi terbaru Alif & Sofia.

"Kami tidak sabar untuk berkongsi versi ini yang diberi nafas baru kepada pengikut setia yang sudah bersama kami selama dua tahun. Kami berharap, animasi ini akan mendapat sokongan berterusan daripada peminat, tambahan pula dengan kerjasama Primeworks Studios serta sokongan rangkaian media yang luas daripada Media Prima Berhad," katanya.

Alif & Sofia menggunakan suara pelakon, Rayyan Iman untuk watak Alif manakala suara watak Sofia pula meminjam suara Intan Syuhadah.

Alif & Sofia boleh dilayari di laman YouTube www.youtube.com/alifsofia dengan episod baru yang dimuat naik pada setiap Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 11:29 PM