Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


GOOGLE hari ini menggunakan lakaran atau doodle khas sempena hari ulang tahun kelahiran ke-65 penyanyi legenda Allahyarham Sudirman Haji Arshad.

Doodle itu juga dihasilkan bagi mengenang pencapaian Sudirman sebagai penyanyi, penulis, komposer, artis seni visual dan pelakon yang pernah membanggakan nama Malaysia ke pentas dunia.

Doodle gabungan warna merah jambu, ungu dan kuning itu menampilkan watak Sudirman sedang membuat persembahan berlatarkan lampu neon yang membentuk tulisan Google.

Sudirman yang dilahirkan di Temerloh, Pahang pada 1954 juga pernah bekerja sebagai wartawan dan peguam sebelum mencipta nama sebagai penghibur.

Kerjaya seninya mula memuncak selepas memenangi pertandingan Bintang RTM dan selepas itu karya-karyanya memanjat carta muzik Malaysia hingga ke Singapura, Brunei dan Indonesia.

Antara konsert Sudirman paling diingati ialah konsert percuma di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada 15 April 1986 yang dihadiri lebih 100,000 penonton.

Diangkat menggunakan kren saat membuat persembahan, nama Sudirman disorak peminat-peminatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Pada 1989, nama Sudirman terus melebar sehingga ke pentas dunia apabila memenangi gelaran Penghibur Terbaik Asia di Royal Albert Hall, London.

Selain itu, Sudirman juga membawa nama negara sebagai Duta Nyanyian atau Singing Ambassador yang diiktiraf oleh Kementerian Pelancongan Malaysia.

Tidak hanya mampu menyanyikan lagu Melayu, Sudirman juga meluaskan jaringan muziknya dengan menyanyikan lagu berbahasa Inggeris, Tamil, Tagalog, Korea dan beberapa dialek Cina.

Selain pelbagai anugerah, nama pelakon filem Kami itu juga disemadikan sebagai nama jalan di kampung halamannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 1:44 PM
GOOGLE menggunakan doodle khas sempena hari ulang tahun kelahiran ke-65 Allahyarham Sudirman Haji Arshad.