SYAFIQ tidak mahu terlalu menunjuk pada orang mengenai hubungannya dengan Mimi. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


“DIA teman istimewa saya. Memang kami sudah lama berkawan tapi saya tidak mahu menjaja kisah cinta kepada peminat,” kata pelakon popular Syafiq Kyle ketika mengulas gosip hubungannya dengan pelakon Mimi Lana seperti yang heboh diperkatakan ramai ketika ini.

Menurut pelakon drama Nur itu, dia juga bukannya mahu menyorok hubungan dengan Mimi seperti tanggapan segelintir pihak.

“Saya bukannya mahu bermain teka-teki kerana ramai juga yang sudah tahu mengenai hubungan ini dan pernah nampak kami keluar berdua sebelum ini.

“Namun, kami putuskan tidak mahu terlalu menunjuk pada orang mengenai hubungan ini kerana bukan kewajipan untuk beritahu hubungan pada semua orang,” katanya.

Syafiq ditemui pada sesi fotografi yang diatur sempena Aidilfitri sebuah di hotel terkenal di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas sejauh mana hubungannya dengan Mimi, kata Syafiq, mereka belum ada perancangan ke jenjang pelamin dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, ahli keluarga memang sudah tahu mereka berkawan.

“Namun, saya belum berani untuk memberitahu hubungan kami serius untuk ke fasa seterusnya selagi belum membawa Mimi bertemu keluarga.

“Buat masa ini, saya masih belum puas dengan pencapaian dalam karier seni.

“Begitu juga dengan Mimi, dia juga ada yang mahu dikecapi dalam kariernya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 4:38 PM