FIZZ banyak terima sokongan daripada Baginda Sultan. FOTO/IG FIZZ FAIRUZ
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


PELAKON Datuk Fizz Fairuz menyifatkan kemangkatan Almarhum Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar satu kehilangan besar.

Fizz yang juga anak jati Pahang berkata, Baginda Sultan banyak menyokong perjalanan seninya.

“Jasanya begitu banyak terhadap saya. Bermula dengan saya tidak punya apa-apa sehinggalah ke hari ini, Baginda paling kuat memberikan sokongan.

“Apa sahaja acara yang saya buat terutamanya membabitkan Pahang, dia akan turun padang memberi sokongan walaupun kurang sihat.

“Pemergiannya adalah satu kehilangan besar buat semua terutamanya rakyat Pahang,” katanya.

Katanya lagi, ada juga beberapa majlis anjurannya tidak dapat dihadiri oleh Sultan Ahmad Shah berikutan ketika itu sudah mula tidak sihat.

“Memang banyak program yang saya anjurkan sebelum ini dan semuanya atas sokongan Baginda.

“Walaupun ralat kerana Baginda tidak dapat hadir, saya bersyukur semuanya berjalan lancar dan tanpa Baginda mungkin saya tidak akan berjaya seperti sekarang.

“Melihat semangat yang ditunjukkan, saya akui Baginda berjiwa kental dan sangat menyayangi rakyat.

Dalam pada itu, Fizz berkata, dia dan beberapa rakan artis lain bercadang untuk ke Pekan, Pahang hari ini bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum.

  • Lagi berita berkaitan Kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 4:04 PM