HATTAN berkongsi kenangan istimewanya. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


DIANUGERAHKAN gelaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada 2011 adalah kenangan istimewa penyanyi Datuk Hattan dengan Sultan Pahang, Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar yang mangkat pagi ini.

Hattan berkata, sepanjang kariernya, dia memang selalu berulang-alik ke istana atas jemputan Almarhum.

“Saya kerap diundang menjayakan persembahan di istana sempena ulang tahun keputeraan Baginda.

“Baginda sentiasa ingat untuk jemput saya. Kadang-kala bukan dipanggil menyanyi tapi sekadar untuk majlis makan-makan dan beramah mesra.

“Menerusi keakraban ini, tiba-tiba saya dimaklumkan akan dianugerahkan gelaran DIMP dan ini satu penghargaan terbesar dalam karier saya,” katanya.

Menurutnya, Baginda Raja berjiwa rakyat, pelindung rakyat dan mudah didekati semua pihak.

“Setiap kali bertemu, baginda pasti akan tanya perkembangan terbaru, lagu baru dan apa sahaja perkara berkaitan karier.

“Baginda sangat menghargai golongan artis. Kami amat menyanjung tinggi pekertinya.

“Saya diundang ke majlis ulangtahun keputeraan Baginda pada tahun lalu dan ia pertemuan terakhir kami,” katanya yang bersedih dengan berita ini.

  • Lagi berita berkaitan Kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 3:37 PM