SITI NURHALIZA
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi kenangan manis bersama Almarhum Sultan Pahang kelima, Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar yang disahkan mangkat pagi ini.

“Sebagai rakyat Pahang yang berpeluang membuat persembahan di hadapan Almarhum Tuanku sejak saya bersekolah rendah sehinggalah ketika menjadi artis, banyak kenangan bermakna dan akan saya ingati sampai bila-bila.

“Antara kenangan paling manis ialah ketika Almarhum Tuanku hadir ke konsert saya yang berlangsung di Royal Albert Hall, London pada 2005.

“Saya sendiri mengadap baginda untuk menjemputnya hadir dan berasa sangat terharu apabila baginda hadir menyaksikan persembahan saya ketika itu,” katanya.

Ditanya mengenai keperibadian Almarhum ketika hayatnya, penyanyi lagu Anta Permana itu berkata, selain berjiwa rakyat, Almarhum juga sangat mudah didampingi.

Selain itu, penyanyi lagu Anta Permana itu turut memaklumkan dia kerap dijemput menjayakan persembahan di istana dan hadir sebagai tetamu untuk beberapa majlis santapan diraja.

Menurut Siti, kemangkatan Almarhum satu kehilangan besar buat rakyat Malaysia terutamanya rakyat Pahang termasuklah dirinya.

“Berita kemangkatan Almarhum Paduka Sultan Haji Ahmad Shah adalah berita sedih buat seluruh rakyat termasuk saya sendiri.

“Patik dan suami mengucapkan dan menyembah salam takziah kepada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, seluruh kerabat dan keluarga DiRaja Pahang di atas kemangkatan Almarhum Paduka Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Almarhum dan digolongkan dalam kalangan para solehin.

Paduka Sultan Haji Ahmad Shah pagi ini dilaporkan mangkat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada 8.50 pagi.

  • Lagi berita berkaitan Kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 1:12 PM