HAEL Husaini dan Dayang Nurfaizah gabung dua kelab peminat rai majlis iftar ringkas, santai. FOTO: Sairien Nafis
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


RAMADAN membuka ruang kepada insan seni untuk mendekati peminat. Pada bulan mulia inilah ramai artis menganjurkan sesi iftar bersama peminat.

Tidak terkecuali, penyanyi Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini yang turut mengadakan majlis berbuka puasa menggabungkan dua kelab peminat atau Haeyang. Majlisnya ringkas namun cukup bermakna buat mereka berdua.

Dayang berkongsi rasa gembira apabila dapat berbuka puasa di acara yang diadakan khusus buat peminatnya.

“Ini adalah kali pertama yang saya betul-betul buat majlis untuk peminat saya. Sebelum ini, saya selalu adakan majlis berbuka bersama anak-anak yatim namun kali ini khas meraikan peminat saya pula.

“Hari ini lebih santai dan tiada tekanan,” katanya.

Penyanyi Lelaki Teragung itu turut memutuskan untuk mengadakan majlis bersama Hael bagi memenuhi permintaan ramai peminat.

Bagi Dayang, dia masih terkesan dengan penerimaan luar biasa terhadap lagu Haram nyanyian mereka berdua. Disebabkan itu, dia menyifatkan majlis terbabit sebagai acara penghargaan buat penyokong tegar mereka.


DAYANG Nurfaizah bersama Hael Husaini berduet pada Majlis Berbuka Puasa di RUANG, Shah Alam.

“Ketika mengambil keputusan untuk berduet dengan Hael, tak sangka kami akan jadi serapat ini. Saya sangat terharu dengan pencapaian kerjasama kami dan ia sangat luar biasa.

“Jadi, kami mahu raikan peminat dalam majlis ini. Lagipun, ini peluang kami dapat bertemu peminat dalam suasana gembira dan bersahaja,” katanya.

Pada majlis berkenaan, lebih 500 peminat hadir malah ada antaranya datang dari Brunei dan Singapura. Lebih istimewa, mereka sendiri dapat melihat Dayang dan Hael menyanyi secara langsung.

Seperti biasa, Dayang tampil dengan vokal memukau menerusi lagu Lelaki Teragung sebelum berduet lagu Haram dan Rindu Bayangan.

Dalam pada itu, Dayang sempat berkongsi hubungan baiknya dengan Hael.

“Saya tahu ramai peminat doakan yang baik-baik. Saya lihat ia dari sudut positif. Apapun yang dikatakan mereka demi perkara terbaik untuk saya dan Hael.

“Saya juga anggap perkara ini biasa kerana kami rapat dan selesa antara satu sama lain. Disebabkan itulah peminat susah nak gosipkan kami,” katanya.

HAEL NAIK 10 KILOGRAM

Sementara itu, Hael mendedahkan berat badannya naik 10 kilogram berikutan masalah kesihatan. Dia juga mengakui terpaksa mengambil ubat yang mengandungi steroid atas saranan doktor.

“Memang betul berat badan saya naik seperti yang diperkatakan ramai disebabkan pengambilan ubat-ubatan mengandungi steroid. Bahkan dalam seminggu sahaja berat saya naik enam kilogram.

“Sekarang saya fokus ambil ubat hingga sembuh. Selepas itu barulah saya cuba turunkan berat badan,” katanya.


BERSAMA penerima sumbangan.

Menurut Hael, masalah kesihatan dialami itu juga tidak menghalangnya untuk meneruskan ibadah puasa.

“Alhamdulillah, saya beransur sembuh. Sikit saja lagi kena habiskan ubat. Selepas itu sudah boleh kurangkan dos.

“Saya tetap berpuasa. Ubat itu tak buatkan selera bertambah dan saya tak makan nasi pun tetapi badan tetap naik. Malah, semua seluar sudah ketat. Harap dapat turun balik sebelum Aidilfitri ini,” katanya.

Walaupun tidak sihat, Hael tetap meneruskan kerjaya nyanyiannya seperti yang sudah dipersetujui.

“Saya tetap menyanyi sebab ia tuntutan kerja. Saya kena lunaskan juga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 5:00 AM