Najiy Jefri

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kedatangan Ramadan nyata memberi rezeki berganda kepada penyanyi Zur Eda apabila sibuk mengusahakan perniagaan makanan dalam mencari pendapatan sampingan.

Kata penyanyi yang terkenal menerusi lagu Kelmarin ini, dia tidak malu berniaga di bazar Ramadan atau pasar malam demi mencari rezeki.

Bahkan, ketika namanya masih memuncak pada era 80-an dan 90-an, dia sudah berjinak-jinak membantu perniagaan keluarga dan hari ini dia pula sibuk menerima tempahan biskut raya dan pelbagai jenis kerepek sepanjang bulan puasa.

“Saya minat berniaga dan tidak kisah berniaga di mana sekalipun asalkan mendapat rezeki halal. Saya pernah berniaga pasar malam di Paya Jaras bertahun-tahun lamanya. Pada bulan Ramadan pula, saya jual bubur lambuk dan lauk-pauk.

“Perasaan malu tidak pernah terbit dalam hati biarpun ramai pelanggan mengenali saya. Saya seronok apabila peminat dapat merasa air tangan saya.

“Sejak dahulu pun, saya suka berkongsi resipi masakan dengan peminat. Bukan hanya lauk-pauk, malah saya berniaga biskut raya dan kuih-muih,” katanya.

Tidak mengenal erti penat, Zur Eda mengakui bidang perniagaan dapat memberi kewangan yang lebih buat keluarga.

“Saya mula berniaga sejak di sekolah rendah lagi. Mulanya, saya jual makanan ringan dan gelang dengan kawan-kawan. Seronok pula apabila makanan ringan habis, gelang yang dijual pun disukai.

“Berniaga sudah sebati dalam hidup saya dan pelik pula kalau tak buat sekarang,” katanya.

Ditanya pernahkah ditipu sepanjang lebih 30 tahun berniaga, Zur Eda mendakwa dia pernah ditipu seorang kenamaan yang kononnya mahu menempah biskut raya dalam jumlah yang banyak.

“Saya masih ingat, seorang kenamaan ini menempah biskut raya hampir RM6,000. Saya sudah menyiapkan tempahan tetapi apabila menghubunginya semula, nombor terbabit tiada dalam perkhidmatan.

“Macam nak menangis dibuatnya kerana siang malam saya menyiapkan biskut raya tetapi kena tipu. Begitupun, saya tidak serik malah menganggap ia bukan rezeki saya.

“Saya jual biskut raya terbabit di pasar malam dan ramai teman artis membantu dengan membeli biskut berkenaan. Akhirnya, ia habis juga dijual,” katanya yang turut melancarkan koleksi Zur Eda Celebrity yang diusahakan bersama pereka fesyen tempatan, Ruslan Baharin.

Ceburi dunia fesyen

Siapa sangka, selepas berjaya dalam perniagaan kuih raya, Zur Eda menceburi perniagaan baru tahun ini.

“Selama ini, orang tahu saya jual biskut raya dan kerepek. Alhamdulillah, saya diangkat sebagai pembekal kerepek untuk stesen Petronas terpilih sejak tahun lalu.

“Saya sudah tidak tahu apa yang nak dikongsikan lagi, jadi saya pilih menceburi bidang rekaan fesyen pula.

“Selalunya peminat melihat artis sering memakai baju ketat ketika mengadakan persembahan. Jujurnya, saya tidak selesa berpakaian sedemikian, apatah lagi saya mahu menjadi contoh yang baik untuk anak dan cucu pada usia mencecah 50-an.

“Jadi, saya dan Ruslan menghasilkan rekaan koleksi baju kurung untuk wanita berusia 40 tahun ke atas,” katanya yang menjelaskan koleksi itu dijual secara atas talian di Instagram miliknya.

Kata Zur Eda, dia mengetengahkan konsep tropika dan alam semula jadi untuk koleksi kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 4:30 AM