HAFIDZ kongsi gambar tidak berbaju selepas bersenam untuk motivasikan diri dan orang ramai.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


SERING memuat naik gambar dan video tidak berbaju di Instagram, pelakon Hafidz Roshdi mendapat perhatian netizen.

Rata-rata membuat andaian pelakon berusia 25 tahun ini sengaja berkongsi gambar terbabit untuk memancing perhatian umum terhadap dirinya.

Malah, ada juga yang beranggapan Hafidz sengaja menggunakan taktik itu selepas sepi seketika. Hafidz bagaimanapun menafikan dakwaan itu sebaliknya menjelaskan perkara berkenaan sudah menjadi kelaziman sejak dulu lagi.

“Bagi peminat yang sudah lama mengikuti saya di akaun Instagram sebelum ia digodam, mereka tahu saya sudah lama aktif melakukan aktiviti kecergasan.

“Sejak dulu, saya memang suka berkongsi foto terbabit untuk memotivasikan diri dan orang ramai.

“Tujuan saya adalah untuk kekal sihat dan mendapat tubuh badan yang ideal. Malah, saya gemar ambil gambar selepas bersenam untuk melihat perkembangan badan supaya kelihatan lebih cergas.

“Saya harap tiada pihak salah faham atau menjaja cerita yang bukan-bukan,” katanya. Menurut Hafidz, dia mengakui sukar menutup mulut orang apabila membabitkan isu itu.

“Itu persepsi mereka sendiri. Saya tidak boleh halang mereka daripada terus membuat andaian sebegitu.

“Bagi saya, gambar yang dikongsi adalah perkara biasa. Jika ada orang tengok saya di luar, begitulah diri saya. Sama sahaja,” katanya.

Kata Hafidz, meskipun terdapat segelintir pihak mengecam gambar yang dimuat naik itu, dia tidak melihat tindakannya itu sebagai satu perkara negatif.

Hafidz menegaskan dia masih tahu menjaga batas apabila mengambil keputusan berkongsi foto sedemikian di laman Instagram miliknya.

“Ramai yang tegur mengenai perkara ini sehingga ada pengikut Instagram beri macam-macam komen tetapi saya tak ambil pusing.

“Selagi masih menjaga batas dan tidak mendedahkan aurat, saya tidak rasa tindakan itu salah. Setiap gambar yang dimuat naik saya akan menutup bahagian pusat.

“Malah saya juga kerap memakai tali pinggang senaman yang menutup pusat supaya aurat tidak terdedah. Jika tidak, saya akan sunting dahulu foto terbabit,” katanya.

Kongsi Hafidz, apa yang dilakukannya itu juga di bawah pengetahuan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri.

“Isteri memang sudah tahu aktiviti saya, dia tak komen apa-apa atau halang saya untuk berbuat demikian. Bahkan, kadang-kadang dia sendiri yang rakam gambar saya,” katanya.

Kata Hafidz, selain aktif ke gimnasium mendapatkan untuk mendapatkan bentuk badan cantik, dia juga memilih untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat dengan berhenti merokok.

“Alhamdulillah, saya sudah berjaya berhenti merokok selepas wujudnya produk alternatif bagi menggantikan rokok seperti peranti NCIG,” katanya yang kini menjalani penggambaran drama bersiri 20 episod, Manuskrip Cinta untuk siaran Syawal nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 5:00 AM