LAGU sebagai medium luahkan perkara perlu diberitahu.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


PENCINTA genre hip hop tempatan, B-Heart, menaruh harapan akan menjadi wakil kepada suara yang tidak didengari menerusi muziknya.

B-Heart atau nama penuhnya Hairi Azrie Henri, 23, bukanlah baharu dalam muzik hip hop. Dia memulakan kariernya pada usia 14 tahun dengan menghasilkan puisi dan ritma sendiri.

Paling penting, penyanyi dari Kuantan, Pahang ini menjadikan pengalaman sebenar sebagai kisah dalam lirik lagunya. Menurutnya, dia berharap lagunya boleh menyentuh hidup orang ramai walau dalam apa cara sekalipun.

“Tujuan saya berkarya adalah untuk menjadikan lagu sebagai medium meluahkan apa yang perlu diberitahu. Menerusi lagu, kita sebenarnya boleh menyuarakan perasaan dan pasangan orang lain.

“Disebabkan itu, saya ingin menjadi wakil kepada golongan yang suaranya tidak didengari di luar sana. Saya berharap dengan berkongsi suara itu menerusi lagu dan lirik, ia akan memberi aura positif buat mereka,” katanya.

Bercerita mengenai kembara seninya, B-Heart aktif sebagai pengkarya bebas. Ketika itu kebanyakan persembahannya dilakukan di sekitar Kuantan saja.

Menurutnya, ketika berusia 18 tahun dia mula serius dan menyebarkan sentuhannya di arus perdana.

“Saya mahu pergi jauh dalam bidang ini. Bukan saja sebagai penyanyi rap tetapi turut melakar nama sebagai komposer dan penulis lirik.

“Saya nekad masuk arus perdana kerana mahu lebih dikenali. Namun, saya tidak akan ubah hala tuju muzik saya dan mengekalkan keasliannya,” kata B-Heart.

Tampil dengan single sulung berjudul Bilang Mama, B-Heart akui mengalami kesukaran kerana ia berdasarkan kisah peribadi. Meski tidak kisah berkongsi apa yang tersimpan rapi di hati sebelum ini, bukan semua lagu mudah untuk dihasilkan.

“Lagu Bilang Mama dicipta khas untuk pengalaman sejak kecil saya terpisah dengan ibu. Sehingga saat ini, saya berharap kami akan dipertemukan suatu hari nanti dan lagu ini dapat didengarinya.

“Memang ada cabaran dan kesukaran sewaktu hasilkan lagu ini. Saya mahu mesej sampai kepada sesiapa juga yang pernah melalui pengalaman sama dengan saya menerusi lagu ini,” katanya.

Dilahirkan di Sabah, B-Heart sudah lama menjadikan kisah hidupnya sebagai cerita utama dalam setiap bait lagunya. Dia mengukir acuan cara rap, mencipta lagu, dan menulis lirik ikut cara tersendiri.

B-Heart membesar dengan arena indie di Kuantan sebagai anggota YMYFAM (Young Malaysian Familia). Sebelum ini dia pernah mewakili kampung halamannya menerusi pertandingan bakat DiGi Live Sekolahku Berbakat.

Pada 2015, dia kemudian dilamar menjadi artis naungan Rumpun Record. Selesa bergerak solo, dia semakin aktif menerbitkan lagunya hasil kolaborasi dengan penyanyi lain serta menulis lagu untuk Amy Mastura, Malique, Adeep Nahar dan Gard.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 4:30 AM