NEELOFA akui amat terkesan dengan pemergian sepupunya. -Foto fail
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


PELAKON dan pengacara Neelofa mengakui sangat terkesan dengan pemergian sepupunya Adam Mahamed Ismail, 29, yang juga chef selebriti disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru pagi tadi.

Neelofa, 30, berkata, pemergian Adam bagaikan kesedihan berganda buatnya apalagi tahun lalu ramai insan yang rapat dengannya meninggal dunia termasuklah datuk kesayangannya.

“Innalillah... Sebagai seorang sepupu yang rapat sejak kecil, perkhabaran perginya Adam menghadap Ilahi sangat menyedihkan apatah lagi sejak tahun lalu ramai insan yang dekat dengan keluarga dijemput pulang terlebih dulu ke negeri abadi.

“Kami pernah menjayakan program masakan bersama dan memori itu yang Lofa akan simpan sampai bila-bila. Adam punya banyak potensi sebagai tukang masak tetapi Allah itu sebaik-baik perancang dan Maha Mengetahui.

“Semoga Allah memberikan syurga tertinggi buat Adam dan semoga keluarga Adam tabah melalui ujian ini. Adam akan sentiasa diingati dan dirindui. Al-Fatihah,” katanya.

Chef Adam Mahamed Ismail atau dikenali sebagai Adam Didam meninggal dunia kira-kira jam 5 pagi tadi.

Terdahulu, Adam yang pernah menyertai rancangan Hero Oven musim kedua di TV3, ada berkongsi mengenai bayangan keadaan diri beliau di kiriman kedua terakhir di laman Instagramnya.

“Sudah terlalu lama saya menghilang... Apabila sesuatu terjadi, agak sukar untuk kita kembali kepada kehidupan sebelum ini. Dalam sekelip mata, hidup anda berubah 360!

“Dan, perancangan anda? Lupakan saja. Ia hilang! Anda rasa tidak berdaya. Terlalu banyak berfikir. Dan, semua perkara yang karut datang ke dalam minda. Sekurang-kurangnya itu apa yang saya rasa,” tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 12:16 PM