HANEZ Suraya. FOTO Aswadi Alias.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

SEJAK mendirikan rumah tangga dan hamil anak pertama empat tahun lalu, pelakon Hanez Suraya kian jarang muncul di televisyen.

Masakan tidak, pemilik nama penuh Hanez Suraya Abd Aziz itu menumpukan sepenuh perhatian kepada rumah tangga dan membesarkan anak.

Bagaimanapun, selepas cahaya mata sulungnya, Puteri Aleesya mencecah usia empat tahun, masih tiada tanda-tanda menunjukkan wanita berusia 33 tahun ini akan kembali ke lokasi penggambaran.

Mengakui amat merindui dunia lakonan, Hanez berkata dia masih menunggu lampu hijau daripada suami untuk kembali ke set penggambaran.

“Mestilah rindu dan masih nak berlakon, cuma saya kena minta izin suami sebelum membuat sebarang keputusan.

“Sudah beberapa kali saya menyatakan hasrat untuk kembali berlakon, jawapan yang diberikannya seakan-akan membayangkan dia tidak bersetuju.

“Tunggulah, kalau ada rezeki dan watak sesuai, saya akan kembali ke lokasi penggambaran,” katanya.

Tambah Hanez, ketika menonton drama fenomena Nur 2, perasaan untuk kembali bekerja semakin membuak-buak.

“Ketika menonton drama Nur 2 baru-baru ini dan melihat watak Juita, tiba-tiba rasa rindu pula untuk membawakan watak sebegitu.

“Malah, kawan saya yang lain turut berkongsi pandangan serupa. Kata mereka, watak Juita memang sinonim dengan saya.

“Kalau diberikan watak mencabar seperti itu saya pasti akan melakukannya cuma buat masa ini belum ada rezeki. Saya okay saja,” katanya ketika ditemui di satu acara yang berlangsung di ibu kota baru-baru ini.

Pada majlis terbabit, Hanez turut mengumumkan bakal menimang cahaya mata perempuan yang dijangka lahir pada awal Julai depan.

Kata Hanez, kelahiran kedua memberi perbezaan kepadanya apabila dia mengakui terlalu obses dengan drama Korea dan muzik K-Pop.

Katanya, dia kerap menghabiskan masa di rumah dengan menonton televisyen dan menyaksikan program hiburan terbitan negara itu.

“Sebelum ini saya memang minat budaya dan industri Korea. Tetapi, tidaklah terlalu obses namun ketika hamil anak kedua saya banyak menghabiskan masa menonton drama Korea.

“Sehinggakan, saya pernah mengajak suami untuk bercuti di sana.

“Mengikut ramalan doktor bayi saya dijadualkan lahir 7 Julai depan. Doakan kelahiran kedua ini dipermudahkan,” katanya.

Menurut Hanez, disebabkan terlalu taasub dengan pengaruh drama Korea dia nekad melancarkan produk pewarna bibir kerana terpengaruh dengan solekan natural pelakon Korea yang sering ditonton di layar kaca.

“Sejak obses menonton drama Korea, saya sangat tertarik dengan solekan mereka. Disebabkan itu, saya memilih mengeluarkan pewarna bibir ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 5:30 AM