JALALUDDIN Hassan.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PEMERGIAN anggota keluarga terutama bapa tentunya kehilangan besar buat anak, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

Bagi pelakon ‘versatile’, Datuk Jalaluddin Hassan, pemergian bapanya yang juga tokoh agama Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari pada Oktober tahun lalu banyak mengubah Ramadannya tahun ini di samping persiapan untuk Aidilfitri.

“Perasaannya berbeza sama sekali. Kalau ayah ada, dia menjadi orang yang paling gembira sekali saat berbuka puasa bersama keluarga. Selalunya, saya akan ke rumahnya untuk berbuka atau kalau tidak pun, akan membawanya ke rumah saya,” katanya.

Menurut pelakon berusia 65 tahun ini, saat paling diingatinya adalah apabila dapat solat berjemaah dan Tarawih bersama.

“Selalunya ketika Ramadan, kami sekeluarga berkumpul, solat berjemaah dan bertarawih.

“Dia akan berikan sedikit tazkirah buat kami semua. Itu akan menjadi kenangan yang paling saya ingati bersama arwah,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan sempena Aidilfitri, Jalaluddin tidak mampu membayangkan sambutan Aidilfitri pertama tanpa kehadiran bapanya.

“Saya sendiri pun tak dapat bayangkan bagaimana sambutan Aidilfitri kami pada tahun ini kerana tentunya, tanpa kehadiran bapa ia akan jadi sangat berbeza.

“Setiap tahun, kami akan beraya di rumahnya dulu dan selepas itu, barulah akan berkumpul di rumah saya. Jadi, mungkin tahun ini kami akan berkumpul di rumah saya atau rumah abang saya, Tan Sri Musa Hassan,” katanya.

Apa yang pasti, mereka sekeluarga mengambil semangat bapanya supaya sentiasa menjaga silaturahim.

“Kami masih ada ibu tiri, yang sudah dianggap seperti ibu sendiri dan akan raikan bersamanya,” katanya.

Selain itu, ini juga tahun kedua Jalaluddin menyambut Ramadan dan Aidilfitri bersama isteri barunya, Datin Rapidah Abd Ghani.

“Alhamdulillah, tahun ini adalah Ramadan dan Aidilfitri kedua saya bersama isteri. Sepanjang lebih setahun bersama, dia menjaga saya dengan baik sekali.

“Jadi, persiapan sam­butan Aidilfitri, saya serahkan kepadanya dan secara sederhana,” katanya.

Terkini, Jalaluddin baru selesai menjalani penggambaran dua episod dalam drama bersiri kepolisan, Gerak Khas dan program komedi sempena Aidilfitri, JKK Raya 2019 yang akan ditayangkan

di TV3 pada hari raya ketiga

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 5:00 AM