AYUNIE tegas menolak tawaran kerana tidak mahu memalukan keluarga. FOTO Arkib NSTP
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


PELAKON dan model jelita, Ayunie Harris, 25, pernah ditawarkan seorang produser berpengaruh dari negara jiran untuk mencipta populariti cepat.

"Tawarannya memang menarik yakni nama saya akan diletakkan sebaris artis popular sana tapi syaratnya, kena buka tudung.

"Sebaik saja diberi syarat itu, terus terbayangkan wajah papa dan mama yang pastinya kecewa jika saya menerima tawaran itu," katanya.

Pelakon dikenali melalui filem Enjin No.9 arahan Raja Azmi berkata, cara dia menutup aurat mungkin belum lagi sempurna tapi dia masih berusaha menjaga batas sebagai Muslim.

Ayunie berkata, susulan itu dia tegas menolak tawaran kerana tidak mahu memalukan keluarga.

"Biarlah saya lambat popular pun, asalkan masih tahu batas dan berusaha jaga aurat.

"Tidak mahulah hanya sebab mahu mengejar populariti, maruah sebagai Muslim pula tergadai," katanya.

Pada masa ini, Ayunie sibuk menjalani penggambaran sinetron berjudul Biru Langit bergandingan bersama Ali Syakieb, Raditya Jason dan Hessel Steven.

Selain itu, dia sedang menjalani penggambaran untuk video muzik terbaru penyanyi Raditya Jason di Jogjakarta sejak semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 6:10 PM