E1 berharap muzik video lagu raya, Rindu Lebaran diterima ramai. FOTO Ihsan Kaio Studio (Instagram: @kaiostudio)
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


TRIO E1 Band berharap muzik video lagu raya mereka, Rindu Lebaran yang bakal dilancarkan secara rasmi jam 7 malam ini diterima baik peminat.

Ezuwan Ismail selaku ketua kumpulan berkata, muzik video itu mengandungi mesej mengajak masyarakat pulang beraya bertemu keluarga tercinta.

“Untuk lagu dan muzik video kali ini, saya berharap peminat suka dan boleh terima. Sebelum kritik dan membuat penilaian, apa kata tonton dulu.

“Paling utama, lirik lagu dan muzik video yang dipersembahkan mempunyai mesej untuk mengajak kita pulang bertemu keluarga di hari raya. Ambil cuti dan sama-sama raikan hari raya nanti dengan penuh kesyukuran.

“Tajuk lagu ini saja sudah menjelaskan betapa kerinduan cukup menebal untuk bersalam dan memeluk erat ibu bapa serta keluarga tersayang,” katanya.

Ezuwan berkata, muzik video terbitan The Awd itu berkonsepkan klasik dan menggamit suasana kampung.

Katanya, konsep yang diketengahkan dalam muzik video itu seperti zaman dulu apabila dia dengan Zul dan Ariff digambarkan seperti tiga bujang terlajak ala filem Do Re Mi.

“Sentuhan kali ini sangat klasik. Memang kalau tengok muzik video ini dapatlah menggamit suasana beraya di kampung.

“Meskipun berdepan cuaca panas sepanjang penggambaran selain menjayakan babak tangkap ayam, kami berpuas hati apabila melihat hasilnya.

“Ibaratnya, penat berbayar dan berbaloi sangat. Pendek kata, ‘mood’ nak beraya ini memang dapat dirasai dalam muzik video ini,” katanya.

Lagu ciptaan S Atan dan lirik Siso Kopratasa itu adalah single kedua E1 Band selepas lagu Semalam Sahaja.

Muzik video rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Indigital Music.

Sekali lagi E1 Band menampilkan pelakon Aprena Manrose sebagai pelakon utama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 5:31 PM