ADIRA turut berpesan kepada mereka yang masih mempunyai ibu dan bapa, hargailah mereka selagi hayat masih ada. FOTTO: Amirudin Sahib
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


TIDAK pernah berpeluang menyambut Aidilfitri bersama ayah tercinta, Adira Suhaimi mengakui terkilan tidak sempat berbuat demikian selepas ayahnya, Suhaimi Rajiman, 57, meninggal dunia Mac lalu.

Adira berkata, sejak kecil sehinggalah sekarang dia tidak sempat meraikan Aidilfitri bersama ayahnya malah hasrat itu ingin dilakukan menjelang Aidilfitri nanti namun tidak kesampaian.

“Saya akui sangat sedih kerana sejak kecil memang tidak rapat dengan arwah ayah.

“Banyak perkara yang tidak sempat saya lakukan bersama ayah. Rasa terkilan kerana sepanjang hayatnya, kami tidak pernah berpeluang menyambut Aidilfitri bersama-sama.

“Lebih membuatkan saya sedih keinginan arwah ayah untuk bertemu cucunya, Anggrek dan Asan juga tidak kesampaian,” katanya.

Katanya, sejak kecil dia tidak kenal siapakah ayahnya kerana ibu dan ayahnya berpisah ketika dia sangat kecil.

Malah dia tidak pernah rasa kasih sayang daripada seorang ayah namun sedikit pun tidak pernah menyimpan rasa dendam di hati.

“Apabila sudah ada peluang bertemu ayah dan ingin lebih mengenalinya Allah terlebih dulu menjemput dirinya.

“Saya masih terkejut dengan apa yang berlaku, banyak perkara tidak dapat lakukan ketika ayah masih hidup.

“Rasa sangat sedih dan terkilan namun saya masih sempat bertemu dan berbual dengannya tiga bulan sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir,” katanya.

Dalam pada itu, Adira turut berpesan kepada mereka yang masih mempunyai ibu dan bapa, hargailah mereka selagi hayat masih ada.

“Setiap kali teringatkan arwah, saya jadi emosi apatah lagi ketika ini, kita sedang menyambut Ramadan dan bakal meraikan Aidilfitri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, penyanyi yang popular dengan lagu Pujaan Hati itu turut terbabit dalam kerjasama koleksi raya tudung Hermanas X Adira.

Adira berkata, dia mula mengenali jenama berkenaan ketika membuat ulasan produk di Instagram miliknya.

“Setiap kali membuat ulasan sesuatu produk saya akan pakai dan tidak sangka mereka menawarkan saya untuk menjalin kerjasama.

“Untuk koleksi ini, terdapat 12 rekaan apabila setiap rekaan mempunyai lebih lima kombinasi warna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 5:00 AM